Najib pertahan lulus pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP kepada SRC

Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau telah memberi lampu hijau kepada surat permohonan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil bagi pinjaman RM3.95 bilion untuk memastikan syarikat itu mempunyai dana yang mencukupi untuk meneruskan pelaburannya dalam sektor tenaga dan sumber asli.

Kelulusan itu diberikan di surat dua halaman yang memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan ditandatangani oleh Nik Faisal melalui tulisan tangan Najib bertarikh 5 Jun 2011 yang menyatakan "Bersetuju dengan cadangan ini”.

"Saya mahu SRC mempunyai modal yang cukup untuk memenuhi objektifnya," kata bekas Perdana Menteri itu ketika memberi keterangan selaku defendan pertama dalam saman AS$1.18 bilion SRC International terhadap beliau dan Nik Faisal, yang masih bebas.

Najib, 71, bagaimanapun menafikan cadangan peguam P Gananathan, yang mewakili SRC, bahawa Nik Faisal sengaja mengalamatkan surat permohonan pinjaman bertarikh 3 Jun 2011 itu kepada beliau dan bukannya KWAP untuk mendapatkan sokongannya sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan ketika itu.

Najib berkata, meskipun surat itu mengandungi nota tulisan tangan beliau, para pegawainya di Kementerian Kewangan akan tetap melakukan tindakan susulan terhadap permohonan pinjaman itu dan penilaian sewajarnya.

Gananathan: Lembaga Pengarah SRC (BOD) belum diwujudkan sepenuhnya ketika anda menulis nota ini kepada KWAP?

Najib: BOD penuh diwujudkan pada 1 Ogos 2011.

Artikel Berkaitan:

Gananathan: Adakah anda setuju dengan saya bahawa perkara ini sepatutnya dilakukan oleh BOD tetapi anda telah masuk campur dalam perkara yang melibatkan BOD.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Najib berkata BOD masih mempunyai peranan kerana beliau hanya mendapatkan pembiayaan untuk SRC tetapi perkara itu tidak membebaskan BOD SRC daripada tanggungjawab mereka untuk meneliti isu membabitkan pelaburan.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa pembabitannya dalam memperoleh pembiayaan daripada KWAP menunjukkan bahawa beliau bertindak atas kapasiti sebagai pengarah SRC.

Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Sebelum ini, SRC menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialaminya akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!