Tuchel sah jurulatih baharu England

Thomas Tuchel. Foto Agensi
Thomas Tuchel. Foto Agensi
A
A
A

BEKAS jurulatih Chelsea dan Bayern Munich, Thomas Tuchel secara rasmi pada Rabu dilantik sebagai pengurus baharu England dengan kontrak selama 18 bulan.

Perkembangan tersebut dikongsi oleh Persatuan Bolasepak (FA) yang menyebut jurulatih berusia 51 tahun itu bakal memulakan tugas pada 1 Januari 2025.

Pengendali dari Jerman itu mengambil alih kerusi panas berkenaan daripada Gareth Southgate yang meletak jawatan selepas The Three Lions kalah dalam aksi final Euro 2024.

Teruja dengan jawatan baharu itu, Tuchel melahirkan rasa bangga dan menyifatkan ia satu penghormatan besar untuk membimbing salah sebuah pasukan terbaik dunia.

"Saya sangat berbangga diberi penghormatan untuk mengetuai pasukan England.

"Saya telah lama merasakan hubungan peribadi dengan bola sepak di negara ini. Ia memberikan saya beberapa detik yang luar biasa.

"Mendapat peluang untuk mengendalikan England adalah satu keistimewaan yang besar dan peluang untuk bekerja dengan kumpulan pemain yang istimewa serta berbakat ini sangat mengujakan," katanya.

Dilaporkan Tuchel yang bakal menerima gaji kira-kira 5 juta pound (RM27,992,379.50) setahun akan dibantu oleh Anthony Barry.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FA, Mark Bullingham menjelaskan mengapa mereka memilih untuk bekerjasama dengan Tuchel.

"Kami teruja untuk bersama Thomas (Tuchel), salah seorang jurulatih terbaik di dunia dan Anthony (Barry) yang merupakan salah seorang jurulatih Inggeris terbaik," katanya.

Tuchel yang menganggur sejak meninggalkan Bayern akhir musim lalu menjadi pengurus asing ketiga bagi skuad England selepas Sven-Goran Eriksson dan Fabio Capello.

Beliau pernah memenangi gelaran liga Paris Saint-Germain (PSG) dan Bayern serta Piala Jerman bersama Dortmund, tetapi kejayaan terbesarnya adalah ketika beliau mengendalikan Chelsea.

Tuchel menjulang The Blues meraih kejuaraan Liga Juara-Juara hanya beberapa bulan selepas mengambil alih pada tahun 2021 dan memenangi Piala Super UEFA serta Piala Dunia Kelab bersama kelab London itu.

Beliau dipecat pada September 2022 oleh kumpulan pemilik baharu Chelsea dan enam bulan kemudian, beliau dilantik sebagai pengurus Bayern dan memimpin kelab itu memenangi gelaran Bundesliga untuk kali ke-11 berturut-turut.

Bagaimanapun, beliau juga menyaksikan kemerosotan dominasi Bayern dalam bola sepak Jerman apabila mereka mengakhiri musim lalu tanpa sebarang trofi, pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!