Tangan kanak-kanak tersepit mesin mainan
LUMUT - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berdepan detik cemas apabila tangan kanan tersangkut pada mesin permainan di sebuah premis di Pantai Remis di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan sembilan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.47 petang.
"Setiba di lokasi kejadian, pasukan mendapati tangan kanan tersepit pada lubang mesin permainan.
"Operasi mengeluarkan tangan mangsa dilakukan dengan menggunakan peralatan khas. Operasi mengambil masa sekitar 10 minit," katanya di sini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati mangsa hanya mengalami kecederaan kecil di jari dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.13 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!