Kejayaan PH tangani rasuah diiktiraf di mata dunia: Gobind

Gobind
Gobind
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) berjaya menjadi negara bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum 2018, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Gembira dengan pencapaian itu, beliau berkata, Malaysia juga mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana usaha gigih itu.

"Daripada digelar sebuah negara kleptokrat yang dilanda pelbagai skandal rasuah dan salah guna kuasa, negara kita kini dipuji kerana berjaya mengatasi cabaran yang sungguh besar itu dan kini dihormati sebagai negara bersih dan demokratik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta mengukuhkan institusi penguatkuasaan mentadbir negara menyaksikan kedudukan Malaysia melonjak daripada tempat ke-61 pada tahun 2018, kepada kedudukan 51 dari 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2019, iaitu pencapaian terbaik buat negara dalam tempoh lapan tahun lepas.

Sementara dalam Indeks Demokrasi 2019 pula, Malaysia melonjak sembilan anak tangga kepada kedudukan ke-43 daripada 167 negara. Malaysia mencatat 7.16 daripada skor atau markah maksimum 10, skor yang paling baik setakat ini.

“Pencapaian ini hasil komitmen teguh kerajaan baharu kepada pembaharuan ataupun reformasi dalam sektor pentadbiran, media, undang-undang, politik dan juga sosioekonomi yang dilaksana secara progresif sejak Mei 2018,” katanya.

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2019.
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2019.

Gobind berkata, antara inisiatif yang menyumbang kepada kejayaan itu adalah pelaksanaan janji-janji manifesto PH termasuk tindakan pantas terhadap kes berprofil tinggi seperti 1MDB, SRC, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Felda dan Tabung Haji.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan kebebasan media, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang julung kali dipengerusikan pembangkang, keperluan pengisytiharan harta wajib ke atas anggota legislatif dan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

ARTIKEL BERKAITAN: NACP: Kikis imej kleptorat, integriti Malaysia kembali dihormati

Namun, beliau berkata, kerajaan harus terus berusaha dan kekal komited terhadap usaha memastikan negara bebas daripada rasuah kerana banyak lagi yang perlu dilakukan.

Beliau berharap rakyat akan terus menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bersih dan bebas daripada rasuah.

“Malaysia kini dilihat sebagai negara yang tegas memerangi dan berjaya membanteras gejala rasuah. Ini memang satu pencapaian besar untuk kerajaan baharu dan sebahagian langkah yang sedang diambil untuk pastikan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 berjaya dicapai,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!