Jualan kenderaan elektrik berkuasa bateri melonjak 112 peratus pada separuh 2024

Tengku Zafrul (kanan) melancarkan Model Kenderaan EV C10 LeapMotor di The Exchange TRX Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Tengku Zafrul (kanan) melancarkan Model Kenderaan EV C10 LeapMotor di The Exchange TRX Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SEBANYAK 6,617 kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) dijual pada separuh pertama 2024, melonjak 112 peratus daripada 3,117 unit dalam tempoh yang sama pada 2023, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Justeru, katanya, negara berada di landasan untuk mencapai sasaran 20 peratus jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) terdiri daripada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2023.

"Pertumbuhan luar biasa ini bukan sahaja menandakan peningkatan minat pengguna kita tetapi juga menunjukkan sokongan rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada agenda alam sekitar nasional dan global,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Stellantis x Leapmotor C10 SUV, di sini, hari ini.

Mengenai stesen pengecas, Tengku Zafrul berkata, sehingga 30 September 2024, lebih 3,171 stesen telah dipasang di seluruh negara, termasuk 813 pengecas pantas DC.

"Kita berharap dapat mencapai sasaran 10,000 stesen pengecas menjelang akhir 2025," katanya

Beliau berkata industri automotif kekal sebagai tonggak penting pertumbuhan ekonomi Malaysia, menyumbang empat hingga lima peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setiap tahun, dan menyokong lebih 700,000 pekerjaan.

Pada 2023, sektor automotif Malaysia mencatatkan nilai import berjumlah RM62.14 bilion, dengan RM37.15 bilion terdiri daripada import alat ganti dan komponen automotif.

Dari segi eksport, sektor itu mencatatkan nilai keseluruhan RM18.01 bilion, dengan RM13.26 bilion daripada eksport alat ganti automotif.

Artikel Berkaitan:

"Jurang ketara antara import dan eksport telah menyebabkan defisit perdagangan bagi sektor tersebut” katanya.

Sementara itu, mengenai pemilihan Malaysia sebagai pasaran pertama di Asia Tenggara bagi pelancaran SUV Leapmotor C10 oleh Stellantis, pengeluar kereta keempat terbesar dunia dan penyedia penyelesaian mobiliti terkemuka itu, Tengku Zafrul berkata, ia mencerminkan keyakinan pemain global terhadap peranan negara sebagai hab bagi kenderaan tenaga baharu.

"Saya sangat teruja apabila Stellantis mengumumkan keputusannya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau sebagai sebahagian daripada strategi ‘Built in ASEAN for ASEAN’ syarikat itu, di samping ibu pejabat serantau untuk Asia Pasifik.

"Saya optimis keputusan ini akan dapat meningkatkan lagi industri automotif kita, memudahkan pemindahan teknologi canggih dan meningkatkan eksport kita,” katanya.

Stellantis hari ini melancarkan kenderaan elektrik SUV terbaharunya, C10, yang merupakan kemasukan besar-besaran pertamanya ke pasaran Asia Tenggara dengan pelancaran di Malaysia.

C10 adalah sebahagian daripada Leapmotor International, usaha sama 51:49 antara Stellantis dan Leapmotor.

Kenderaan elektrik Leapmotor C10 elektrik serba baharu itu ditawarkan pada harga pengenalan bagi masa terhad pada RM149,000 atas jalan, tidak termasuk insurans, untuk tempahan yang dibuat sehingga 30 November 2024.

Selepas tempoh ini, harga akan ditetapkan pada RM159,000. Kenderaan itu didatangkan dalam empat warna luaran -- glazed green (hijau), pearly white (putih), canopy grey (kelabu) atau tundra grey (kelabu) - dan dua pilihan dalaman: criollo brown (perang) (eksklusif bagi glazed green) dan midnight aurora (hitam). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!