Tiada kompromi pegawai lakukan kekerasan, penderaan - Imigresen

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawai.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM sedia maklum berhubung kenyataan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai insiden tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada 1 Februari lalu.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius terhadap penemuan hasil siasatan pihak EAIC bahawa terdapat unsur kekerasan dan penderaan fizikal serta mental terhadap tahanan oleh beberapa pegawai JIM bermula 2020 hingga 2021.

"JIM mempunyai sebanyak 25 buah depot imigresen termasuk Baitul Mahabbah yang meliputi 18 buah depot imigresen sedia ada, dua buah depot imigresen sementara dan lima buah Baitul Mahabbah.

"Dalam pengurusan depot imigresen, JIM sentiasa mematuhi ketetapan standard piawaian antarabangsa iaitu United Nation Standard Minimum Rules For The Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules) dan International Committee of The Red Cross (ICRC) - Healthcare in Detention.

"Selain itu, JIM juga mengikuti Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tegas beliau, JIM sama sekali tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawai.

Walau bagaimanapun katanya, pihak jabatan sedang menunggu laporan penuh daripada EAIC berkaitan hasil siasatan, seterusnya membolehkan JIM mengambil tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya didapati terdapat unsur-unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai-pegawai tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!