Kerajaan perlu laksana analisis faedah kos bagi projek mega - PAC
SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan analisis faedah kos sekiranya mahu menjalankan projek-projek mega di negara ini.
Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Zahir Hassan berkata, ia untuk mengimbangi kewangan yang dikeluarkan bagi setiap projek itu supaya dilaksanakan dengan baik.
Bagaimanapun menurutnya, kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan terlebih dahulu untuk memastikan projek mega tersebut harus disiapkan atau sebaliknya.
“Kalau dapat dilaksanakan dengan baik, saya percaya apabila laksanakan projek-projek mega ini ikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada, perkara itu dapat dilakukan.
“Apabila kita siasat lebih dalam, memang ada projek lewat siap, kalau dah siap tak sempurna pula.
“Ada kes yang saya rasa takut tidak dapat dilaksanakan hingga boleh jejaskan keselamatan orang awam,” katanya dalam wacana edisi 461 bertajuk ‘Antara Mega Projek, Subcon dan Tata Kelola’ pada Rabu.
Program tersebut dihoskan oleh Dr Noor Nirwandy Mat Noordin turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengerusi Eksekutif DNex, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Ahli Parlimen Wangsa Maju itu berkata, analisa keperluan, mereka bentuk dan menyediakan dokumen sewajarnya dilakukan terlebih dahulu sebelum memulakan projek yang bakal dilaksanakan demi rakyat.
Ujarnya, jika proses berkenaan gagal maka ia tidak membawa manfaat kepada masyarakat yang memerlukan.
“Sebelum memulakan projek, kenal pasti dulu untuk laksanakan atau tidak. Kalau tak membawa manfaat kepada rakyat bermakna dari hari pertama dah rugi.
“Kalau pilih konsultan yang tiada pengalaman pula seperti lantik dia sebab kawan kita, jadi projek itu dari hari kedua juga gagal. Proses lantikan konsultan ini perlu dijalankan sebaik mungkin supaya kita dapat pastikan daripada awal ia dilaksanakan oleh mereka yang mampu buat.
“Perlu menyediakan kontrak dokumen dan perlu dikenal pasti juga. Kontrak itu dilakukan jenis apa, perkara yang perlu dicapai itu masukkan dalam dokumen supaya semua jelas apa yang nak dilaksanakan,” jelasnya.
Selain itu, Zahir menjelaskan, satu ketetapan yang telah diambil oleh dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan dengan menubuhkan empat jawatankuasa khas.
Katanya, ia melibatkan Jawatankuasa Teknikal untuk pasukan projek, Jawatankuasa Kajian Pengurusan Projek untuk pasukan teknikal peringkat kementerian, Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Kementerian Pertahanan dan Jawatankuasa Pemantauan Projek dipengerusikan kedua-dua kementerian itu.
“Jadi, penubuhan jawatankuasa ini, Insha-ALLAH kita harapkan dapat berperanan dan berkesan.
“Pertambahan kepada struktur atau proses yang kita dah ada, kita harapkan empat penubuhan ini dapat merealisasikan apa yang dihasratkan seperti kapal-kapal dapat disiapkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!