Puad Zarkashi ‘kalut’ dengan penyertaan Abdul Hakim - Ahmad Fadhli

Laporan Sinar Harian. (Fadhli Shaari)
Laporan Sinar Harian. (Fadhli Shaari)
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung penyertaan adik Presiden parti berkenaan, Datuk Abdul Hakim Hamidi ke dalam Pas.

Beliau mendakwa, ia berikutan Mohd Puad tidak tenang apabila Abdul Hakim yang pernah menjadi ‘kudis’ kepada UMNO menyertai parti itu.

“Jika sebelum ini ia ‘kudis’ di dalam UMNO, sempatkah ‘kudis’ itu berjangkit? Jika ia berjangkit, adakah kepada keluarga terdekat dahulu?

“Saya cuba memahami metafora dari kenyataan Puad ini. Orang lain di peringkat tertinggi UMNO hanya tenang, tiba-tiba dia yang ‘kalut’.

“Bahkan siap membuat perbandingan cerita keluar masuk parti dengan individu-individu lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Mohd Puad berkata, penyertaan adik kepada Presiden UMNO itu dalam parti Pas tidak memberi 'kudis' kepada UMNO.

Beliau berkata, UMNO akan berjalan terus dan tidak hairan dengan tindakan yang dilakukan oleh Abdul Hakim.

Tambah Ahmad Fadhli, ahli politik yang keluar dan masuk parti itu perkara biasa, bahkan ramai juga yang keluar serta tidak kembali ke pemerintahan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Yang keluar Pas kemudian masuk balik Pas pun ada. Yang keluar UMNO tak kembali semula kepada UMNO pun ramai, bahkan daripada senarai Presiden UMNO, berapa ramaikah di kalangan mereka yang meninggal dunia di luar UMNO?

“Jadi, tak payahlah ‘mengkudiskan’ sesiapa. Senyap dan buat kerja. Boleh jadi itulah modul pembelajaran yang dipelajari oleh Datuk di sekolah perkaderan di China,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!