Bantu industri media untuk terus bernyawa
SUDAH sampai masanya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan untuk membantu industri media agar boleh terus bernyawa.
Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini diharap mengambil kira keperluan industri media khususnya industri persuratkhabaran yang digambarkan semakin sukar untuk bertahan di sebalik cabaran dunia digital yang tidak memihak kepada mereka.
Sebuah firma penyelidikan, Kenangan Research turut menjangkakan penerbit akhbar terus kehilangan bahagian pasaran perbelanjaan iklan (adex).
Di tengah-tengah kemerosotan pendapatan iklan dan jualan akhbar, kebanyakan syarikat media terpaksa mencari pendanaan baharu termasuklah sokongan daripada Kerajaan Madani sendiri.
Bukan sedikit agensi media khususnya arus perdana yang terpaksa ditutup atau mengecilkan operasi. Malah ada agensi media yang didanai parti atau orang politik terpaksa gulung tikar.
Justeru pengamal media berharap menerusi Belanjawan 2025 akan ada pakej dan insentif untuk industri media seperti pembelian iklan atau subsidi untuk pembelian kertas yang boleh membantu mengurangkan kos operasi syarikat persuratkhabaran.
Kerajaan Madani wajar menyalurkan sedikit suntikan dana kepada agensi media seperti mana dilakukan kerajaan-kerajaan sebelum ini bagi membolehkan perkhidmatan mereka sentiasa relevan dengan keperluan semasa serta dapat meneruskan operasi mereka pada masa hadapan.
Selain pembelian iklan, kerajaan juga boleh menyarankan jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi, hospital, institusi pengajian tinggi dan sekolah untuk terus melanggan akhbar sama ada cetak atau digital.
Kebangkitan perkhidmatan komunikasi dalam talian termasuklah Facebook, X (Twitter) Instagram, WhatsApp, TikTok, YouTube dan sebagainya telah memberi dampak besar kepada industri media konvensional.
Walaupun berhadapan cabaran yang begitu besar, industri media masih memiliki peluang besar untuk terus bertumbuh dan berkembang terutama dengan adanya sokongan berterusan daripada kerajaan.
Ini kerana media arus perdana masih relevan untuk menyebarkan kempen-kempen kerajaan dan melawan penyebaran berita palsu serta manipulasi informasi yang tidak beretika.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!