Sebenarnya ramai pengguna tidak siuman di atas jalan raya
SEMAKIN lama, semakin kerap kita lihat pengguna jalan raya yang tidak berdisiplin di atas jalan raya, tidak kiralah penunggang motosikal atau pemandu kereta.
Baru-baru ini ramai yang marah apabila seorang pemandu wanita tidak siuman merempuh empat pelajar UiTM Dungun sehingga menyebabkan tiga maut dan seorang cedera parah.
Sebenarnya, ramai individu yang tidak siuman di atas jalan raya kita. Ini bukan rahsia lagi.
Kalau siuman, takkanlah buat aksi Superman? Kalau siuman, takkanlah memandu secara melulu dan melebihi had laju. Kalau siuman, takkanlah langgar lampu isyarat?
Hanya orang tidak siuman yang akan melakukan tindakan sedemikian. Bagi Merak Jalanan yang sering memandu dengan berhemah, itu semua kerja orang tak siuman.
Firma pendidikan pemanduan antarabangsa, Zutobi pada 2022 pernah meletakkan Malaysia antara 10 negara di dunia yang paling berbahaya untuk memandu, pada kedudukan kelapan dengan skor keselamatan direkodkan hanya 5.63 daripada 10.
Ini memberi gambaran bahawa pemandu di Malaysia tidak berhemah, tidak mematuhi undang-undang jalan raya, tidak bertimbang rasa dan sebagainya. Walhal perangai jelik itu hanya dilakukan oleh segelintir pengguna.
Dalam hal ini, Merak Jalanan rasa perubahan sikap amat penting bagi mengubah imej dan keadaan tidak selamat di atas jalan raya ini.
Adakah individu yang gemar memandu membabi buta ini sekadar diberikan saman?
Merak Jalanan rasa sudah sampai masa kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat dan lebih drastik seperti menarik lesen atau dimasukkan saja dalam penjara.
Hukuman berat adalah untuk melindungi pengguna yang patuh kepada peraturan jalan raya. Kempen sudah, peringatan pun sudah, entah bila sikap pemandu bakal berubah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!