Wajarkah laksana GST jika gaji minimum cecah RM3,000?

Pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Gambar hiasan (Gambar kecil: Nurshahirah, Muhamad Ameer, Mohamad Zarif, Muhammad Amirul Helmy)
Pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Gambar hiasan (Gambar kecil: Nurshahirah, Muhamad Ameer, Mohamad Zarif, Muhammad Amirul Helmy)
A
A
A

KERAJAAN hanya akan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000 hingga RM4,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gaji bulanan minimum di Malaysia ketika ini adalah pada RM1,500.

Ujar beliau, selain cekap dan telus, sistem cukai itu juga akan membantu mengembangkan dana kerajaan dengan kutipan hasil yang lebih tinggi.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, kemampuan mencapai kadar gaji RM3,000 bergantung kepada pertumbuhan dan polisi ekonomi serta peningkatan produktiviti yang menyokong kenaikan gaji.

Beliau berpandangan, tempoh bagi mencapai kadar itu mungkin lima hingga 10 tahun, sekiranya ekonomi berkembang pada kadar stabil.

Meskipun inisiatif tersebut mampu membantu ekonomi negara namun terdapat pihak yang menzahirkan kebimbangan bahawa ia akan memberikan kesan kepada kenaikan kos sara hidup rakyat pada masa akan datang.

Ada yang bersetuju dan ada juga sebaliknya. Masing-masing mempunyai pandangan dan hujah yang tersendiri.

SOKONG

Artikel Berkaitan:

Tingkat kutipan hasil kerajaan

Pelaksanaan GST dalam konteks peningkatan gaji minimum kepada RM3,000 hingga RM4,000 perlu dipertimbangkan dengan teliti kerana ia akan memberikan kesan langsung kepada kos sara hidup, pendapatan kerajaan dan kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, dari sudut kewangan kerajaan, saya berpandangan pelaksanaan GST dapat meningkatkan hasil cukai dan memberikan kestabilan, berbanding cukai-cukai lain seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

GST boleh menjadi sumber pendapatan tambahan untuk kerajaan dan membolehkan kerajaan menampung perbelanjaan yang lebih besar, sekali gus mengekalkan kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Namun, dari perspektif rakyat, meskipun gaji minimum dinaikkan, pelaksanaan GST berpotensi menambah beban kos sara hidup kerana ia dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh rakyat.

Kenaikan kos barangan harian boleh mengurangkan kuasa beli rakyat walaupun dengan kenaikan gaji.

Untuk menilai kewajaran pelaksanaan GST, kerajaan perlu memastikan bahawa kenaikan gaji minimum disertai dasar-dasar sokongan yang efektif seperti pengecualian cukai terhadap barangan keperluan asas, subsidi kepada golongan B40 dan inisiatif lain yang mampu meredakan impak GST kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

- Pembantu admin, Nurshahirah Ayub, 31.

Wajar pertimbang GST jika stabilkan ekonomi

Wajar untuk melaksanakan GST jika gaji minimum mencapai RM3,000 hingga RM4,000 kerana dengan gaji pada tahap itu, rakyat mungkin lebih mampu menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup, termasuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dijangka berlaku.

Saya fikir kenaikan gaji minimum ini akan memberikan lebih kuasa beli kepada golongan pekerja, terutama yang berpendapatan rendah.

Contohnya, harga barang dan perkhidmatan mungkin akan naik disebabkan GST, tetapi jika rakyat mempunyai lebihan pendapatan, mereka dapat menyerap beban kos tambahan tersebut tanpa terjejas secara menyeluruh.

Bagaimanapun, kerajaan perlu merangka strategi atau mekanisme yang memastikan pelaksanaan GST ini tidak menyebabkan kenaikan inflasi yang mendadak.

Jika GST dapat memberikan kestabilan kepada ekonomi negara, maka ia wajar dipertimbangkan untuk diperkenalkan namun rakyat perlu diyakinkan bahawa ia tidak akan memberikan kesan buruk kepada mereka.

- Pekerja swasta, Mohamad Zarif Mohd Zamri, 30.

BANGKANG

Beri peluang rakyat bernafas

Pada pandangan saya, pengenalan GST seharusnya ditangguhkan terlebih dahulu bagi memberi peluang kepada rakyat untuk bernafas.

Selain baru melepasi tempoh sukar akibat pandemik Covid-19, rakyat juga menghadapi cabaran dari segi tekanan kos sara hidup dan ketidakstabilan ekonomi negara.

Justeru, proses untuk rakyat bangkit dan stabil semula dari segi kewangan itu mungkin memakan masa.

Pendekatan GST ini sesuai dijalankan dalam beberapa fasa, supaya rakyat terutama golongan M40 yang menerima impak besar, tidak terlalu terkesan.

Seperti kita tahu, kumpulan tersebut tidak selalunya layak mendapat bantuan kerajaan seperti subsidi, namun mereka tetap terdedah kepada tekanan ekonomi sama seperti komuniti B40.

Dengan kenaikan kos barang akibat GST, tanpa sebarang sokongan tambahan, M40 mungkin terpaksa mengorbankan sebahagian besar pendapatan untuk menampung keperluan hidup, sekali gus mengurangkan kualiti hidup mereka.

Pelaksanaan GST boleh dimulakan secara perlahan-lahan bagi mengurangkan kesan langsung ke atas rakyat.

Penangguhan GST juga memberi masa kepada kerajaan untuk mengkaji semula dasar-dasar lain dan menyediakan pelan komprehensif bagi mengurangkan beban rakyat. Ia juga memastikan kerajaan tidak terburu-buru melaksanakan dasar yang boleh menjejaskan rakyat.

- Pegawai kanan komunikasi, Muhamad Ameer Asyraff, 30.

Fokus baiki sistem percukaian sedia ada

Pada pendapat saya, meskipun gaji minimum naik kepada RM3,000 atau RM4,000, pelaksanaan GST masih tidak sesuai.

Walaupun gaji dinaikkan, peningkatan harga barangan dan perkhidmatan yang disebabkan oleh GST boleh mengurangkan kuasa beli rakyat.

Ini terutama berlaku sekiranya kos barang keperluan seperti makanan, perumahan dan tenaga turut mengalami kenaikan.

Jika gaji yang lebih tinggi memberi sedikit ruang kewangan kepada rakyat, inflasi akibat GST mungkin memakan sebahagian besar daripada gaji tersebut.

Jadi dalam situasi ini, saya boleh katakan kenaikan gaji mungkin tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup kerana ia boleh menyebabkan tekanan kewangan lebih besar kepada rakyat termasuk golongan B40.

Saya yakin kerajaan juga tentu mempertimbangkan banyak perkara sebelum melaksanakan inisiatif tersebut. Tambahan pula, ekonomi kita belum stabil sepenuhnya.

Kerajaan wajar fokus kepada perkara lain terlebih dahulu, seperti memperbaiki sistem percukaian sedia ada.

- Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat, Muhammad Amirul Helmy Yahya, 30.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!