Nahas babit lori ibarat 'bom jangka' atas jalan raya

Tangkap layar video sebuah lori melanggar beberapa kereta di hadapannya yang dikongsi Hezeri di aplikasi X beliau.
Tangkap layar video sebuah lori melanggar beberapa kereta di hadapannya yang dikongsi Hezeri di aplikasi X beliau.
A
A
A

SHAH ALAM – Kemalangan melibatkan kenderaan komersial terutama lori yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini didakwa berpunca daripada kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa dan hukuman lemah.

Pakar automotif, Hezeri Samsuri berkata, disebabkan kurangnya pemantauan, lori dan kenderaan berat lain dianggap tidak ubah seperti ‘bom jangka’ kerana ia boleh mencetuskan kemalangan dahsyat ketika di atas jalan raya pada bila-bila masa sahaja.

Hezeri
Hezeri

“Kenderaan komersial dulu berada di bawah pemerhatian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan mereka diberi kuasa menghukum.

"Namun kini ia diletakkan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan mereka perlu menerima arahan dari empat agensi serta pihak lain untuk bertindak.

“Sejak SPAD dibubar pada 2018 dan diganti APAD, kes kemalangan membabitkan kenderaan komersial nampaknya makin meningkat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hezeri sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kekerapan kemalangan melibatkan kenderaan komersial dengan berkongsi rakaman video sebuah lori hilang kawalan serta merempuh beberapa kereta dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hezeri menjelaskan, APAD hanya boleh bertindak selepas menerima laporan atau aduan rasmi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang awam serta tiada kuasa menguatkuasakan hukuman seperti SPAD dahulu.

“Kita pengguna tidak ada kawalan terhadap kenderaan berat ini dan mereka berada di mana-mana sahaja.

"Kalau kawasan perumahan terletak di kawasan industri bermakna kenderaan awam terpaksa ‘bercampur gaul’ dengan kenderaan berat. Ini bahaya!” ujarnya.

Justeru, Hezeri mencadangkan supaya kerajaan segera mewujudkan SPAD semula kerana terbukti APAD tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk membendung kes kemalangan membabitkan kenderaan komersial ketika ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!