Harimau Malaya jangan pernah serik

Harimau Malaya perlu banyak perlawanan menentang pasukan ranking lebih tinggi untuk memberikan lebih pendedahan kepada pemain-pemain negara. Foto FAM
Harimau Malaya perlu banyak perlawanan menentang pasukan ranking lebih tinggi untuk memberikan lebih pendedahan kepada pemain-pemain negara. Foto FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya tidak perlu serik berdepan pasukan yang jauh lebih kuat dalam usaha memberikan pendedahan dan pengalaman berguna kepada pemain negara dalam aksi peringkat tertinggi pada masa akan datang.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully berkata, kekalahan besar 0-4 kepada New Zealand menunjukkan banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sekali gus menyedarkan semua pihak tentang kelompangan besar dalam pasukan.

Menurutnya, segala usaha yang dilakukan sebelum ini termasuk mengambil pemain naturalisasi dan pemain warisan masih belum cukup dan perlu dilipatgandakan untuk mencapai hasil yang lebih baik.

“Saya mahu melihat dari sudut positif (perlawanan lawan New Zealand) apabila kita berani sahut cabaran bermain dengan mereka walaupun mengetahui standard kita dengan mereka sangat jauh berbeza berdasarkan ranking.

“Memanglah keputusan dibelasah 4-0 itu tidak sedap didengar, namun dalam kekalahan itu ada hikmah yang boleh diambil.

“Setiap orang kena sedar ini adalah tahap sebenarnya bola sepak untuk bermain di tahap dunia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Harimau Malaya perlu banyak perlawanan menentang pasukan ranking lebih tinggi untuk memberikan lebih pendedahan kepada pemain-pemain negara. Foto FAM
Harimau Malaya perlu banyak perlawanan menentang pasukan ranking lebih tinggi untuk memberikan lebih pendedahan kepada pemain-pemain negara. Foto FAM

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan persahabatan Tier 1 itu, skuad negara mati langkah apabila perlawanan di dominasi sepenuhnya pasukan di ranking ke-95 dunia itu.

Peluang Harimau Malaya menguji gawang New Zealand juga hanya boleh dikira dengan jari selain kelihatan pemain negara cukup gugup berdepan tuan rumah di Auckland.

Dalam pada itu, Richard turut menyifatkan perlawanan tersebut perlu menjadi penanda aras terutama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pemain untuk meningkatkan tahap kualiti permainan.

“Bagi saya, perlawanan tersebut menjadi satu penanda aras kepada kita. Kalau nak lawan dengan pasukan ranking lebih baik ini yang kita perlu hadapi.

“Pau Marti Vicente (pengendali Harimau Malaya) kena fikir apa yang perlu beliau lakukan untuk menandingi penanda aras itu.

“Sebab itu saya cakap perlawanan ini penting kerana kalau kita tak main (dengan pasukan kuat), kita tak tahu bagaimana sakitnya jatuh (kekalahan),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!