CCTV pantau pegawai imigresen di pintu masuk negara
DALAM usaha memperketatkan kawalan sempadan negara, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka yang bertugas juga tidak dibenarkan untuk membawa alat telekomunikasi.
Ia dilihat sebagai satu pendekatan yang mungkin berkesan bagi menghalang warga asing masuk ke dalam negara secara haram.
Ia berikutan Saifuddin Nasution berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengeluarkan 25,214 notis penolakan masuk (NTL) kepada warga asing pelbagai negara bagi tempoh Januari hingga September lalu.
JIM dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan perolehan bagi sistem saringan awal penumpang atau advance passenger screening system serta dalam fasa akhir untuk menaik taraf CCTV yang dilengkapkan audio dan visual di setiap kaunter pemeriksaan.
Pemantauan visual yang dirakam CCTV membolehkan sebarang aktiviti mencurigakan sama ada daripada pegawai atau pelancong dapat dikesan segera.
Jika terdapat pelancong yang berada di kawasan pintu masuk terlalu lama tanpa melalui pemeriksaan, pihak berkuasa akan mengambil tindakan pantas untuk menyiasat disebabkan kelengahan tersebut.
Bagi alat telekomunikasi seperti telefon bimbit pula, ia mengelakkan sebarang komunikasi dua hala yang tidak dibenarkan antara pegawai dengan pihak luar apabila melibatkan sindiket yang sering merasuah pegawai.
Justeru, dengan pendekatan yang lebih proaktif berkenaan, pihak berkuasa berharap dapat menutup ruang kepada sebarang cubaan jenayah di sempadan negara dan memastikan keselamatan serta integriti negara kekal terjaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!