Anugerah projek kepada kontraktor jadi punca masalah
SHAH ALAM – Menganugerahkan tender projek kepada kontraktor yang tidak layak antara punca projek mega yang dilaksanakan akan jadi bermasalah.
Pengerusi Eksekutif DNex, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir mendedahkan terdapat kepincangan berlaku dalam prosedur operasi standard (SOP) penilaian kontraktor.
Menurutnya, ianya juga berlaku disebabkan wujud pihak yang menilai syarikat yang layak melanggar SOP yang telah ditetapkan.
“Tapi yang menghairankan bila kita masuk tender itu, kita tahu siapa layak dan tidak layak, tetapi akhirnya ada orang yang tidak memenuhi kriteria mereka juga dipanggil mengambil bahagian.
“Jadi itu membuka ruang kalaulah mereka yang tak layak pun dipanggil, jadi apa tanggapan kita dari segi pemilihan yang dibuat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi 461 bertajuk Antara projek mega, subcon & tata kelola yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Rabu.
Program itu dikendalikan Dr Noor Nirwandy Mat Noordin sebagai moderator dan turut disertai dua panelis iaitu Ahli Parlimen Wangsa Maju merangkap Ahli PAC, Zahid Hassan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari
Syed Zainal Abidin juga mengakui pernah berlaku situasi apabila senarai kontraktor yang layak sudah dikeluarkan namun senarai itu bertambah pada saat akhir dan persoalannya mengapa SOP tidak dilaksanakan dengan baik.
“Keduanya tender dokumen, kita tahu tender dokumen ini dibuat oleh beberapa pihak ada yang ambil dari konsultan, agensi sendiri, atau badan kerajaan.
“Tetapi banyak dipersoalkan adalah mengenai tender dokumen ini kerana wujud persepsi bahawa tender dokumen itu berat kepada satu syarikat malahan daripada awal tender dokumen itu fokus kepada seseorang yang akan menang.
Beliau turut mendakwa terdapat tender dokumen yang keperinciannya agak luas dan bila tidak terperinci akan memberi ruang pesaing lain memberikan sebut harga yang mungkin ada perbezaan.
“Jadi penilaian nanti siapa yang betul dan kadang-kadang juga spesifikasi yang diminta oleh agensi lebih dari apa yang patut diberi dan ia boleh meningkatkan kos.
“Bila tender keluar tak tahulah, kadang-kadang mungkin pandangan konsultan, sebagai petender kita bagilah spesifikasi.
“Petender juga mahu diberi ruang untuk memberi pilihan yang berbeza walhal sepatutnya kalau kita ada tender dokumen, syarikat kontraktor akan bagi satu spesifikasi mengikut kriteria yang dikehendaki.
Jelasnya, perkara itu berlaku kerana kontraktor yang tulen mempunyai pilihan berbeza dalam industri dan memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat pilihan yang terbaik.
"Situasi paling rumit ialah penilaian yang selalu ada markah mereka akan tunjuk rating dan sebagainya, bila masuk tender kita dah tahu teknikal rating dan komersial berapa peratus.
“SOP ada, tapi pelaksanaannya banyak kepincangan, persoalannya kenapa perlu ada variasi daripada apa yang diwar-warkan dengan penilaian,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!