Warga emas maut ketika melintas
JEMPOL - Seorang lelaki warga emas maut ketika hendak melintas jalan dalam kejadian di Kilometer 5 Jalan Bahau- Kemayan di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, insiden pada jam 5.50 petang itu membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan basikal elektrik ditunggang mangsa berusia 85 tahun.
"Kejadian dipercayai berlaku semasa kereta dipandu wanita berusia 55 tahun dalam perjalanan dari Bahau menghala rumahnya di Ladang Geddes seorang diri.
"Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba datang sebuah basikal elektrik ditunggang mangsa dari arah kiri hendak melintas jalan untuk ke Taman Sri Mahsan lalu berlaku perlanggaran," katanya pada Khamis.
Ujarnya, pelanggaran itu melibatkan di bahagian sisi kanan basikal elektrik tersebut di laluan sah kereta berkenaan.
"Akibatnya, mangsa maut di lokasi kerana kecederaan parah di kepala dan muka. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ). Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Yasmin Beevee Mohamed Ali di talian 012-9434222 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!