Tuchel sasar kejayaan Piala Dunia bersama England

Tuchel (tengah) menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media pertamanya sebagai pengendali England di Wembley. Foto: AFP
Tuchel (tengah) menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media pertamanya sebagai pengendali England di Wembley. Foto: AFP
A
A
A

THOMAS Tuchel berkata, beliau mesti bangkit menghadapi cabaran untuk menamatkan penantian England bagi trofi utama pertama sejak 1966 ketika jurulatih Jerman itu diperkenalkan sebagai pengurus baharu Three Lions pada Rabu.

Bekas bos Chelsea itu akan memulakan tugas baharunya mulai 1 Januari 2025 dengan kontrak selama 18 bulan sehingga Piala Dunia 2026.

Jurulatih berusia 51 tahun itu yang tidak bekerja sejak meninggalkan Bayern Munich pada penghujung musim lalu, menggantikan Gareth Southgate sebagai jurulatih tetap dan menjadi pengurus asing ketiga England selepas Sven-Goran Eriksson dan Fabio Capello.

"Saya tahu ada beberapa trofi yang belum dimenangi oleh England dan sudah tentu, saya mahu membantu merealisasikannya," katanya dalam sidang media di Wembley.

Tuchel yang juga pernah melatih Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain (PSG), mempunyai rekod kejuaraan yang dicari oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) untuk membantu menamatkan penantian 58 tahun untuk memenangi kejohanan utama sejak Piala Dunia 1966 di tanah air sendiri.

Detik tertinggi dalam kerjaya jurulatih Jerman itu setakat ini adalah semasa beliau berada di England apabila memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea pada 2021.

Namun, tindakan FA merekrut Tuchel mendapat kritikan kerana tidak mempercayai jurulatih tempatan untuk jawatan tertinggi itu yang sebelum ini memantau generasi pemain berbakat termasuk Jude Bellingham.

"Terdapat beberapa persoalan serius untuk FA jawab mengenai kejurulatihan di England," kata bekas kapten Manchester United dan pertahanan England, Gary Neville.

Artikel Berkaitan:

Southgate meletakkan jawatan tidak lama selepas tewas dalam perlawanan akhir Euro 2024 kepada Sepanyol pada Julai lalu, selepas lapan tahun mengendalikan skuad The Three Lions.

"Kami akan membina segala yang telah dibina oleh Gareth dan FA dan semoga kami boleh menambah sedikit lagi usaha untuk mencapai kejayaan.

"Dan kami akan cuba memasukkan nilai, prinsip serta peraturan secepat mungkin untuk merealisasikan impian tersebut," tambah Tuchel.

Tuchel akan dibantu oleh jurulatih England, Anthony Barry, yang pernah bekerja bersamanya di Bayern.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!