Dua suspek kes bunuh Sabari tiba di Mahkamah Jitra

Dua suspek kes bunuh pesara Felcra Sabari Baharom,62 tiba di Mahkamah Jitra pada jam 8.15 pagi diiringi anggota polis.
Dua suspek kes bunuh pesara Felcra Sabari Baharom,62 tiba di Mahkamah Jitra pada jam 8.15 pagi diiringi anggota polis.
A
A
A

KUBANG PASU - Dua suspek kes bunuh pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, tiba di Mahkamah Jitra di sini, pada pagi Khamis bagi mengikuti pertuduhan terhadap mereka.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu tiba pada jam 8.15 pagi dengan memakai penutup muka dan dikawal ketat oleh anggota polis.

Turut hadir bagi mengikuti proses pendakwaan terbabit adalah anak mangsa, Suraiya Izzati, 29, dan abang mangsa, Ismail Baharom, 69.

Pada Rabu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 September dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 September.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat susulan penahanan dua lelaki itu.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!