39 pegawai kadet Kor SUAR ditauliahkan sebagai YIO
PUTRAJAYA - Seramai 39 pegawai kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) kumpulan kedua Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Muda (YIO) pada Sabtu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataannya berkata, pentauliahan itu akan dilakukan dalam majlis tamat latihan dan pentauliahan YIO di universiti tersebut.
Kenyataan itu berkata, majlis pentauliahan yang dianjurkan dengan kerjasama suruhanjaya itu akan disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, penganjuran majlis itu bertujuan menghargai usaha dan komitmen mahasiswa dalam memerangi rasuah serta menyebarluas mesej penting pencegahan rasuah kepada masyarakat umum.
"Sejak ditubuhkan pada 2022, penglibatan pelajar dalam Kor SUAR telah meningkat dari 24 pegawai kadet kepada 39 pegawai kadet pada tahun ini.
"Ia terdiri daripada 12 kadet lelaki dan 27 kadet wanita dan pastinya ini satu pencapaian yang amat membanggakan," kata kenyataan itu pada Khamis.
Katanya, Kor SUAR merupakan satu-satunya badan beruniform universiti yang ditauliahkan dengan sijil YIO.
Tambahnya, selain memartabatkan integriti dalam kalangan generasi muda, Kor SUAR juga berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti sukarela.
"Para kadet yang telah melalui kursus selama empat semester ini telah didedahkan kepada pelbagai topik berkaitan nilai jati diri, integriti dan pencegahan rasuah.
"Pada masa yang sama, penawaran kursus ini turut melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang menggerakkan aktiviti pendidikan antirasuah di dalam kampus untuk menyebarluaskan mesej anti rasuah di negara ini," ujarnya.
Selain itu katanya, mahasiswa yang berjaya menamatkan sesi hingga ke semester keempat akan ditauliahkan sebagai YIO dan ia adalah nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan nanti.
Dalam pada itu menurutnya, Azam juga dijangka meluncurkan logo dan bendera rasmi Kor SUAR yang akan digunakan dalam perhimpunan badan beruniform di peringkat universiti.
"Memeriahkan lagi acara, majlis makan malam juga akan diadakan bagi meraikan kejayaan kesemua pegawai kadet yang ditauliahkan.
"Dengan pentauliahan ini, diharapkan pegawai kadet Kor SUAR terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda nasional ke arah membentuk masyarakat yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!