JIM ambil langkah drastik perangi 'Counter Setting'
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berusaha keras untuk memperkukuh integriti dan mengambil langkah tegas bagi menangani isu penyalahgunaan kuasa di dalam jabatan. Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen untuk memastikan JIM mematuhi standard etika yang tinggi serta melindungi keselamatan negara.
Sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga sempadan negara, JIM memainkan peranan penting dalam memastikan kedaulatan negara terpelihara. Namun, isu ‘counter setting’ baru-baru ini sedikit sebanyak memberi impak negatif yang mencalarkan kredibiliti JIM.
Masalah 'counter setting'
Salah satu isu yang telah dikenal pasti ialah amalan ‘counter setting’, iaitu kerjasama antara pegawai imigresen dengan sindiket untuk membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah. Amalan ini sering melibatkan pemberian insentif daripada pihak sindiket kepada pegawai bertugas di pintu masuk negara, seperti lapangan terbang, bagi memudahkan kemasukan individu yang tidak layak. Pegawai yang terlibat memberikan ‘lampu hijau’ kepada sindiket, membenarkan warga asing masuk tanpa melalui pemeriksaan ketat yang diperlukan.
Kegiatan ‘counter setting’ ini membawa impak negatif yang serius, bukan hanya terhadap integriti JIM, tetapi juga kepada keselamatan negara. Apabila kemasukan tidak melalui prosedur yang betul, ia meningkatkan risiko ancaman terhadap negara, seperti jenayah terancang dan aktiviti haram lain. Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, yang merasakan keselamatan mereka terancam, serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem keselamatan negara. Rakyat berharap pegawai imigresen melaksanakan tugas dengan integriti dan apabila harapan ini tidak dipenuhi, keyakinan terhadap sistem tersebut terhakis.
Selain daripada kesan terhadap keselamatan, amalan ‘counter setting’ juga memberi kesan buruk kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara. Warga asing yang masuk tanpa kelayakan sah berpotensi terlibat dalam kegiatan jenayah seperti penyeludupan atau pemerdagangan manusia. Dalam jangka panjang, ini boleh menggugat struktur sosial dan ekonomi negara, serta membawa kepada ketidakstabilan yang lebih besar.
Tindakan pencegahan
JIM menyedari bahawa masalah ini memerlukan tindakan segera. Oleh itu, pelbagai langkah pencegahan telah dan sedang diambil bagi menangani masalah ini. Salah satu langkah utama adalah penambahbaikan jadual kerja pegawai melalui pusingan kerja. Pegawai yang telah berkhidmat di lokasi sama lebih dari tiga tahun akan dipindahkan secara berkala bagi mengelakkan potensi penyalahgunaan kuasa. Ini bertujuan untuk memastikan pegawai tidak terlalu lama di satu lokasi yang sama, sekali gus mengurangkan peluang mereka untuk menjalin hubungan dengan sindiket haram.
Selain itu, semakan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) juga sedang dijalankan bagi memastikan prosedur keselamatan yang lebih ketat di pintu masuk negara. Penekanan diberikan kepada pengurusan cap keselamatan dan pemeriksaan pelawat bagi menutup sebarang ruang atau kelemahan yang boleh dimanipulasi. Langkah-langkah ini diambil untuk memastikan bahawa peluang pegawai menyalahgunakan kuasa dapat diminimumkan.
JIM juga mengambil langkah untuk meningkatkan pemantauan melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik, yang dilengkapi dengan audio dan visual. Langkah ini bertujuan memudahkan pengawasan dan pengesanan sebarang kelakuan tidak wajar. Penggunaan teknologi dalam pengawasan membolehkan pemantauan yang lebih berkesan terhadap aktiviti harian pegawai.
Selain itu, JIM juga memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Usaha ini penting untuk memastikan tindakan lebih menyeluruh dalam membanteras gejala penyalahgunaan kuasa. Dengan kolaborasi ini, ruang untuk kegiatan haram dapat dihapuskan, dan tindakan yang lebih tegas dapat diambil bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.
Kesimpulannya, JIM berada di landasan yang betul dalam menangani isu 'counter setting'. Dengan pelbagai langkah yang telah dan sedang diambil, JIM berharap untuk memulihkan kepercayaan rakyat dan memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
Datuk Zakaria Shaaban ialah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!