Lebih 100 maut lori tangki meletup
ABUJA - Angka kematian akibat letupan lori tangki minyak di negeri utara Nigeria, Jigawa, awal minggu ini melebihi 100 orang, kata jurucakap Presiden Nigeria Bola Tinubu, Rabu.
Kenyataan yang dikeluarkan pada petang Rabu oleh Bayo Onanuga, jurucakap kanan presiden, bagi pihak Tinubu, menyifatkan kebakaran malam di Majiya, sebuah bandar di kawasan kerajaan tempatan Taura, Jigawa pada lewat Selasa sebagai "kebinasaan."
Menurut kenyataan itu, pemimpin Nigeria mengarahkan delegasi pegawai kanan untuk menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa, menilai keadaan di lokasi kejadian dan melawat puluhan individu yang cedera di hospital.
Beliau juga mengarahkan bantuan kecemasan, termasuk bekalan perubatan, makanan dan tempat tinggal, diberikan kepada mangsa yang sedang menerima rawatan serta mereka yang terjejas akibat kebakaran tangki minyak itu.
Sambil meyakinkan rakyat mengenai komitmen kerajaan untuk segera dan menyeluruh mengkaji semula protokol keselamatan pengangkutan minyak di seluruh negara, Tinubu turut mengarahkan pihak polis keselamatan jalan raya untuk mempertingkatkan langkah keselamatan perjalanan malam, seperti rondaan yang lebih kerap, penguatkuasaan peraturan keselamatan yang lebih ketat dan mekanisme keselamatan jalan raya lain bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Terdahulu, polis mengesahkan sekurang-kurangnya 90 orang terkorban dan 50 lagi cedera susulan letupan itu. Mangsa kebanyakannya adalah individu yang bergegas ke tempat kejadian untuk mengumpulkan minyak setelah lori tangki minyak itu hilang kawalan dan terbalik, menurut jurucakap polis kepada Xinhua.
Upacara pengebumian besar-besaran bagi mangsa diadakan pagi Rabu, kata Shi'isu Lawan Adam, jurucakap polis di Jigawa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!