MALBATT boleh balas tembakan Israel sebagai pertahanan diri - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat, Khamis.
Mohamed Khaled ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat, Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan boleh membalas tembakan rejim Zionis sebagai cara untuk mempertahankan diri jika diserang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serangan itu hanya dibolehkan jika ada serangan daripada Israel, namun pasukan berkenaan tidak dibenarkan menyerang terlebih dahulu.

“Jika berlaku serangan dari segi ukuran pasca perlindungan, telah ditetapkan kalau untuk mempertahankan diri itu memang dibolehkan membalas tembakan.

“Bagaimanapun, jika mahu lakukan serangan ofensif maka itu tidak dibenarkan kerana peranan dan tanggungjawab Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) adalah sebagai pengaman,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berhubung sama ada MALBATT 850-11 dibenarkan untuk melakukan serangan kepada rejim Zionis dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa situasi terkini pasukan berkenaan dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, tahap keselamatan semasa pasukan adalah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan aset sepanjang berlaku tempoh perang antara Hizbullah dan Israel.

“Semua pasukan di bawah UNIFIL telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Mengambil kira keselamatan petugas, markas UNIFIL juga telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu mengikut prosedur yang ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa UNIFIL turut menyediakan kemudahan dewan bedah memandangkan terdapat 50 negara lain yang terlibat sebagai pasukan pengaman.

“Jadi dalam soal menyediakan dewan bedah dan sebagainya maka itu diambil tanggungjawab dan disediakan sendiri oleh UNIFIL. Ia terletak kira-kira satu jam dari kem MALBATT 850-11.

“Sementara itu, di kem pasukan negara ada kemudahan asas untuk merawat terutamanya tahap dua. Pada masa sama, kita telah mewujudkan kerjasama dengan hospital-hospital tempatan (Lubnan),” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!