GISBH: Kerajaan tidak cadang tubuh RCI

Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung jenayah yang dikaitkan dengan GISBH. Gambar kecil: Saifuddin Nasution
Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung jenayah yang dikaitkan dengan GISBH. Gambar kecil: Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung jenayah yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi memandangkan siasatan dan operasi masih berjalan bagi menjejak saki baki kelompok tersebut.

Menurutnya, dalam masa sama PDRM sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara.

"Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol.

"Selain itu, berdasarkan siasatan PDRM sehingga hari ini, tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan dan pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH," ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat semalam.

Sebelum itu, kerajaan digesa mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat kes penderaan, pengantunan dan eksploitasi terhadap 402 kanak-kanak yang diselamatkan dari 20 rumah amal sekitar Selangor serta Negeri Sembilan pada 11 September lalu.

Yang Dipertua Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki itu penting untuk dilaksanakan segera kerana laporan mengenai kes tersebut amat mengejutkan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, menurutnya, penubuhan RCI amat penting dan kerajaan perlu melakukan siasatan menyeluruh mengenai kelemahan pihak berkaitan yang membenarkan penderaan kanak-kanak terbabit berlarutan selama bertahun-tahun.

Tambah Saifuddin, bagaimanapun kementerian tidak menolak sebarang kemungkinan berlaku.

"Ini kerana siasatan PDRM masih diteruskan dari pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!