Jurukimpal didenda RM3,500 ceroboh kebun, curi nangka

Sharwani Khan diiring polis ketika hadir ke mahkamah pada Khamis
Sharwani Khan diiring polis ketika hadir ke mahkamah pada Khamis
A
A
A

SEREMBAN - Seorang jurukimpal didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan menceroboh kebun di Mantin dan mencuri buah nangka pada Selasa lalu.

Majistret, menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Sharwani Khan Jahardad, 34, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menceroboh kebun milik seorang lelaki berusia 35 tahun di Kampung Baru Mantin di Nilai pada 15 Oktober 2024 jam lebih kurang jam 12.30 tengah hari.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan(YBGK), R Kanapathy memohon denda minimum kerana tertuduh hanya bekerja sebagai jurukimpal dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Katanya, tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta perlu menanggung ibunya yang menghidap strok.

"Tertuduh mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kes ini," katanya.

Majistret, Syed Farid Syed Ali menetapkan denda RM2,000 dengan seorang penjamin dan boleh dikenakan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli, tertuduh didapati mencuri lapan biji buah nangka pemilik kebun sama pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh dan boleh dikenakan empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal dan Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!