Tiada mendapan baharu di Taman Sri Nibong

Fahmi (kanan) meninjau kejadian lubang benam di Taman Sri Nibong yang berlaku pada Rabu.
Fahmi (kanan) meninjau kejadian lubang benam di Taman Sri Nibong yang berlaku pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tiada mendapan baharu berlaku di Taman Sri Nibong, di sini susulan insiden lubang benam di kawasan itu pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol berkata, setakat ini, kawasan berlaku lubang benam sahaja disahkan tidak selamat dan telah ditutup untuk kegunaan orang awam.

Menurutnya, walaupun lubang tersebut berkeluasan 10 meter dengan kedalaman 10 meter, ia tidak menyebabkan kawasan lain turut terjejas.

"Laporan yang diterima daripada Indah Water Konsortium (IWK) mengesahkan tiada kebocoran paip lain berlaku di kawasan sekitar dan disahkan selamat. Hanya kawasan yang berlaku lubang benam tidak selamat.

"Memang tiada masalah lain seperti rekahan atau mendapan di kawasan lain malah kita pun tidak menerima aduan lain daripada penduduk sekitar.

"Bagaimanapun, pihak IWK akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan hakisan akibat daripada kebocoran paip tidak merebak di kawasan lain," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar pada Khamis.

IWK menjalankan kerja membaiki paip bocor di lokasi kejadian.
IWK menjalankan kerja membaiki paip bocor di lokasi kejadian.

Pada Rabu, kebocoran paip IWK dipercayai punca kepada berlakunya lubang benam di Taman Sri Nibong, Pantai Jerejak.

Artikel Berkaitan:

Hasil penelitian dan siasatan awal mendapati, insiden itu berpunca daripada kebocoran paip di bawah tanah hingga menyebabkan pasir terhakis.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kebocoran paip tersebut berkemungkinan sudah lama berlaku menyebabkan pasir di bahagian bawah telah terhakis lalu membentuk lubang benam di situ.

"IWK sudah memulakan kerja membaiki paip bocor itu sejak jam 10 malam tadi dan dijangka siap dalam tempoh seminggu lagi. Sepanjang kerja membaiki itu, kawasan dan jalan tersebut akan ditutup demi keselamatan.

"Pihak IWK juga menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk melihat kawasan bawah tanah di sekitar lubang benam tersebut sama ada berlaku pergerakan tanah atau hakisan pasir lain," katanya.

Tambah beliau, terdapat empat hingga lima projek IWK di kawasan Pantai Jerejak yang belum diselesaikan yang mana, semua projek ini projek lama.

"Oleh demikian, saya memohon pihak IWK untuk segera bagi mengelakkan berlaku kebocoran paip lain. Antara projek IWK yang tertangguh adalah di hadapan Pasar Raya Giant dan di Bulatan Bayan Baru," katanya.

Sementara itu, IWK dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan membaiki paip yang terjejas dan dijangka selesai dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

IWK berkata, tindakan yang diambil termasuk menggerakkan pasukan pembaikan selain berkoordinasi dengan Jabatan Kerja Raya serta Pejabat Exco untuk melaksanakan penutupan jalan, menubuhkan penghadang keselamatan dan mengalihkan lalu lintas demi keselamatan orang ramai.

"Pasukan IWK masih menyiasat punca utama kejadian yang mungkin disebabkan oleh hujan lebat dan pergerakan pada paip bawah tanah.

"Sepanjang tempoh ini, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif kerana akses ke Taman Sri Nibong melalui Krystal Point akan ditutup sementara.

"IWK tetap komited untuk memastikan operasi sistem pembetungan di kawasan tersebut berjalan dengan selamat dan efisien, demi menjaga kesihatan awam serta alam sekitar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!