[VIDEO] Polis lepas tiga tembakan hentikan pemandu kereta bawah pengaruh dadah

A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga tempatan, dalam kejadian di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini pada petang Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta jenis Honda Accord bagi menghalang suspek warga tempatan berusia 27 tahun daripada melarikan diri.

Kumar ketika ditemui pengamal media pada Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Khamis. Foto Bernama
Kumar ketika ditemui pengamal media pada Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Khamis. Foto Bernama

Jelasnya, kejadian bermula apabila pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) cuba menahan sebuah kereta yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

“MPV polis bertindak menghampiri kereta suspek dan anggota mengarahkannya berhenti. Namun apabila nampak MPV polis menghampiri keretanya, suspek melarikan diri.

"Selepas lima minit mengejar, suspek kemudian masuk ke kawasan parkir dan berhenti. Polis kemudian menghampirinya namun sekali lagi memecut keretanya dan melawan arus sebelum melanggar tiga kereta.

"Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan bertujuan menghalang suspek daripada terus melarikan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kumar menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas media pada Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM di Dataran Kawad IPK Johor pada Khamis.
Kumar menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas media pada Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM di Dataran Kawad IPK Johor pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Oktober di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Kumar berkata, suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan dilakukan ke atas keretanya menjumpai 296 gram heroin.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamin.

"Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau kes jenayah dan dadah," katanya.

Kumar memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.

Tambah beliau, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah.

Sementara itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Johor Bahru, Puan Chai Ing Hien membenarkan tempoh tahanan reman selama seminggu bermula Khamis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!