Penyelia kilang perabot didakwa hina Islam di Facebook

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penyelia kilang perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghina agama Islam melalui hantaran di ruangan komen akaun Facebook miliknya.

Koh Teen Ern, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Tertuduh didakwa memuat naik satu hantaran di ruangan komen yang menghina agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya iaitu ‘Tim Koh’ dan tindakan itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama antara kumpulan beragama Islam dengan kumpulan bukan beragama Islam di seluruh negara.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara jam 2.47 pagi pada 20 Disember 2019 dengan jam 9.56 pagi 21 Disember 2019 mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 298A (1) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh dilarang membuat apa-apa hantaran di dalam sosial media sepanjang perbicaraan berjalan.

Mahkamah menetapkan 12 Mac sebagai sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!