[VIDEO] Penduduk tak lena tidur malam, bimbang banjir air pasang

A
A
A

PONTIAN - Penduduk di Kampung Kebun Baru Sungai Durian, Kukup di sini tidak dapat tidur lena memikirkan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku dalam masa terdekat.

Kejadian air pasang besar yang lazimnya berlaku ketika musim hujan akan mengundang banjir tambahan pula kedudukan kampung berdekatan sungai dan laut.

Ibu tunggal, Zubaidah Haron, 66, berkata, walaupun terdapat ban atau penahan air, namun mereka tetap bimbang air sungai melimpahi tebing menyebabkan banjir seperti yang berlaku pada April tahun lalu.

Nora menunjukkan keadaan tali air yang terletak berdekatan rumahnya di Kampung Kebun Baru Sungai Durian Kukup.
Nora menunjukkan keadaan tali air yang terletak berdekatan rumahnya di Kampung Kebun Baru Sungai Durian Kukup.

"Kami tidak sempat selamatkan barang ketika banjir berlaku tahun lepas kerana berlaku secara mengejut pada awal pagi selepas hujan ketika itu.

"Banyak perkakas rumah yang rosak antaranya peti ais dan mesin basuh yang tidak boleh digunakan dan perlu dibaiki akibat terkena banjir," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Zubaidah yang tinggal bersama anak dan menantunya, Siti Norziana Suhaimi, 27, mengambil pengajaran daripada kejadian banjir yang berlaku pada tahun lepas dengan membuat persiapan awal pada kali ini.

Artikel Berkaitan:

Zubaidah (kiri) dan Siti Norziana (kanan) menunjukkan rumah yang dikemas dan peti ais diletakkan lebih tinggi dengan batu di Kampung Kebun Baru Sungai Durian, Kukup Pontian.
Zubaidah (kiri) dan Siti Norziana (kanan) menunjukkan rumah yang dikemas dan peti ais diletakkan lebih tinggi dengan batu di Kampung Kebun Baru Sungai Durian, Kukup Pontian.

"Sudah lebih seminggu musim hujan dan selepas ini musim air pasang pula. Kami sekeluarga membuat persiapan dengan meletakkan peti ais di tempat lebih tinggi.

"Selain itu, dokumen penting seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan sudah diletakkan di tempat selamat dan mudah dibawa jika banjir berlaku," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nora Haron, 64, memberitahu berdasarkan pengalaman tahun lepas, banjir disebabkan air pasang besar berlaku dengan pantas.

"Banjir yang lepas berlaku sekitar jam 2 pagi. Keadaan sangat kelam kabut ketika itu. Kedudukan rumah pula terletak sekitar 10 meter dari tali air menyebabkan limpahan air banjir berlaku dengan pantas.

"Dengan musim hujan, kami kena lebih berhati-hati. Kami perlu berwaspada jika keadaan air pasang semakin tinggi," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengenal pasti 745 lokasi 'hotspot' banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.

Pengarahnya, Siti Rohani Nadir berkata 'hotspot' membabitkan Batu Pahat sebanyak 186 lokasi, Segamat 103 hotspot, Muar (87); Kluang (78); Tangkak (59); Pontian (58); Kota Tinggi (56); Johor Bahru (44); Mersing (38) dan Kulai (36).

Dalam pada itu, MTL yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!