Abang masih berharap jasad Sabari ditemui
KUBANG PASU - Abang kepada mangsa bunuh, Sabari Baharom, 62, masih berharap jasad adiknya dapat ditemui walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Ismail Baharom, 69, berkata, selepas operasi pencarian adiknya ditamatkan pada 3 Oktober lalu, dia seringkali datang ke jambatan Kampung Empa, Wang Tepus di sini untuk meninjau Sungai Padang Terap itu.
Katanya, dia turut berdoa di jambatan berkenaan supaya jasad adiknya itu ditemui sekali gus dapat melancarkan kes pendakwaan terhadap dua suspek terlibat.
"Saya meminta sesiapa yang menemui jasad adik saya tidak kira apa cara sekali pun, bolehlah memaklumkan kepada polis," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Jitra di sini pada Khamis.
Beliau hadir untuk mengikuti pendakwaan kes melibatkan adiknya itu di samping memberi kata-kata semangat dan perangsang buat anak saudaranya, Suraiya Izzati, 29, dan suaminya.
Bagaimanapun Ismail berkata, dia tidak terniat langsung untuk melihat wajah kedua-dua suspek terbabit.
Pada Khamis, dua suspek kes bunuh pesara Felcra itu tiba di Mahkamah Jitra di sini bagi mengikuti pertuduhan terhadap mereka.
Kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu tiba pada jam 8.15 pagi dengan memakai penutup muka dan dikawal ketat oleh anggota polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!