19 sindiket 'calling centre' di Johor tumpas

Kumar (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Oktober 2024 di Dataran Kawad IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
Kumar (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Oktober 2024 di Dataran Kawad IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 156 suspek termasuk warga asing disyaki terbabit dengan 19 sindiket 'calling centre' yang berjaya ditumpaskan sejak Januari sehingga bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sindiket berkenaan dikesan menjalankan aktiviti penipuan pelaburan, tipu tawaran kerja, tipu menyamar sebagai rakan, pinjaman tidak wujud dan 'phone scam'.

“Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ke atas pusat panggilan yang beroperasi dalam premis dan menahan seramai 156 suspek telah ditangkap melibatkan warga tempatan serta warga asing.

“Sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka dan tujuh daripadanya telah dituduh di mahkamah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c), 15(1) Akta Imigresen, Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Oktober 2024 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, usaha mengesan, menangkap dan menjalankan siasatan terhadap mana-mana premis yang dijadikan sebagai 'calling centre' akan terus dilaksanakan.

"Kempen-kempen berkaitan kesedaran jenayah komersil turut dijalankan kepada orang ramai bagi memastikan mereka mempunyai informasi terkini dan sentiasa cakna bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa scammer.

"Langkah-langkah pencegahan jenayah turut dilaksanakan melalui pelbagai program bertujuan mendekati masyarakat untuk mendapatkan keterlibatan dan kerjasama mereka, katanya.

Artikel Berkaitan:

“Melalui program keselamatan kejiranan contohnya, setiap pegawai polis wanita di setiap balai adalah ahli Amanita yang berperanan sebagai Neighbourhood Safety,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turit berkongsi mengenai jumlah kes jenayah indeks dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor bagi tempoh Januari hingga bulan lalu yang menunjukkan peningkatan 5.61 peratus bersamaan 4,027 kes berbanding 3,813 kes bagi tempoh sama berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, peningkatan kes jenayah indeks bagi Kontinjen Johor adalah terkawal dan Jabatan Siasatan Jenayah Johor berjaya menyelesaikan 62.63 peratus daripada kes yang disiasat.

"Bagu jenayah narkotik pula, seramai 19,155 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah, sehingga September lalu

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berada di kedudukan ketiga tertinggi di antara kontinjen dengan rampasan sebanyak 5.40 tan dadah yang bernilai RM57.84 juta.

“JSJN Johor juga telah berjaya menyita pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM13.96 juta,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!