Suaram tidak setuju Sosma digunakan untuk kes GISBH

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Sevan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Sevan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menegaskan tidak ada keperluan untuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam kes melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Pengarah Eksekutif, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy berkata, ini kerana polis sudah mempunyai masa mencukupi untuk mengumpul bukti bagi meneruskan pendakwaan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 130V Kanun Kesiksaan.

Katanya, penggunaan akta terbabit untuk menahan semula 58 individu itu dilihat memperlekehkan usaha pihak berkuasa.

“Polis sudah menyiasat pelbagai petunjuk awal dalam kes GISBH, termasuk penyeludupan manusia. Sekarang, lanjutan reman diberikan kepada 58 individu untuk memudahkan siasatan yang sedang dijalankan.

“Bukan itu sahaja, penggunaan Sosma dalam kes terbabit berpotensi untuk membentuk perkara yang berbahaya dan menindas golongan terlibat dengan mengorbankan standard perbicaraan tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution memaklumkan, Sosma digunakan dalam kes GISBH kerana ia melibatkan jenayah serius seperti pemerdagangan manusia.

Jelasnya, jumlah tahanan yang ramai juga menyebabkan akta itu diguna pakai bagi melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Sevan memaklumkan, akta tersebut juga mampu mengalihkan perhatian daripada keperluan kritikal untuk pembangunan kapasiti dan meningkatkan daya tahan polis dalam menangani kaedah jenayah serta siasatan efektif sambil mengekalkan hak kepada perbicaraan yang adil.

Artikel Berkaitan:

“Kebergantungan berlebihan kepada langkah menghukum melalui akta itu juga boleh melemahkan usaha pencegahan jenayah jangka panjang.

“Mengutamakan strategi jangka panjang dengan memperkukuh institusi untuk memerangi jenayah akan menjadikan pengekalan serta penggunaan Sosma ini tidak perlu. Dalam masa sama, ia memupuk kehendak politik untuk memansuhkan undang-undang prosedur tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, cadangan untuk pindaan Sosma telah ada sejak Ogos tahun lepas dan dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas perundingan dengan pihak berkepentingan yang diketuai oleh Jabatan Perdana Menteri mengenai Reformasi Institusi dan Undang-undang.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, belum menjalankan apa-apa tindakan terhadap pindaan yang diperlukan termasuk isu berkaitan ikat jamin tahanan jenayah tersebut.

“Fokus sepatutnya beralih kepada mempercepatkan reformasi dan memastikan keadilan dilaksanakan tanpa mengorbankan hak asasi kepada perbicaraan yang adil.

“Cabaran berterusan dalam menangani jenayah terancang dan keganasan pula semakin kompleks ditambah lagi dengan faktor seperti kemajuan dalam teknologi menyebabkan rangkaian jenayah semakin cepat berkembang serta memerlukan pendekatan yang kukuh.

“Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap reformasi akta berkenaan dan bukan mempertahankan pelaksanaan berterusan terutamanya terhadap kes kritikal tersebut,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!