Patung Trump, bendera dibakar depan Kedutaan AS
KUALA LUMPUR - Kumpulan peserta demonstrasi aman yang membantah perjanjian damai antara Israel dan Palestin, dikenali sebagai 'Deal of The Century' bertindak membakar patung Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan bendera negara itu hari ini.
Tindakan itu secara jelas menggambarkan pendirian 20 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik Pas dan UMNO yang tidak bersetuju dengan perjanjian diumumkan Trump yang disifatkan tidak adil.
Para peserta mula berkumpul selepas solat Jumaat di Menara Tabung Haji berarak beramai-ramai ke hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak bersama sebuah lori yang dijadikan 'pentas' laungan suara bantahan terhadap Trump.
Himpunan aman tersebut berlangsung selama kira-kira sejam disertai beberapa pimpinan politik dan NGO.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, perjanjian dibuat Trump itu telah melanggar ketetapan yang pernah dibuat Majlis Keselamatan sebelum ini.
Katanya, sepatutnya mereka perlu kembalikan wilayah-wilayah yang telah dirampas daripada Palestin.
"Sekarang ini bukan hanya dikembalikan tetapi dirosakkan semua dan seolah-olah tidak wujud peta Palestin dalam dunia.
"Perjanjian ini bukan menimbulkan keamanan tetapi akan timbulkan ketidaktenteraman terutamanya di peringkat negara-negara Asia Barat sebab itu perjanjian ini turut tidak dipersetujui oleh orang Yahudi," katanya pada sidang media selepas demonstrasi aman tersebut.
Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, beberapa tindakan telah dibuat termasuk menghantar memorandum kepada Kedutaan AS.
Katanya, pihaknya senada dengan pendirian Pejabat Perdana Menteri yang menyifatkan perjanjian yang dibuat antara Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu sebagai berat sebelah dan rakyat Palestin mempunyai hak untuk menolaknya.
"Hari ini kita berharap agar Trump, Netanyahu dan semua kuasa-kuasa besar dunia memahami bahawasanya apa yang berlaku sekarang bukan kerana Islam semata-mata tetapi adalah isu kemanusiaan di mana berpuluh tahun orang Palestin telah dizalimi.
"Dengan tindakan bantahan ini, kita mahu sekurang-kurangnya rakyat Malaysia memahami perkara ini dan bersama-sama bersatu padu menjaga hak-hak keistimewaan yang telah ada dalam Perlembagaan negara," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kerajaan perlu bertegas membantah perjanjian berkenaan supaya tidak diteruskan dengan melaksanakan satu resolusi baharu.
"Esok Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan rasmi persidangan antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen sedunia. Kita seru supaya satu resolusi kuat akan dibuat dalam persidangan ini atas nama lebih 80 negara menolak perjanjian berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!