Banjir: JBPM Melaka beku cuti pegawai, anggota

Mohd Pisar ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pasukan Bomba Junior di SK Tun SAS di Ayer Keroh pada Khamis.
Mohd Pisar ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pasukan Bomba Junior di SK Tun SAS di Ayer Keroh pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Cuti seramai 508 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dibekukan sebagai langkah berjaga-jaga berdepan situasi banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Penolong Persuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan pasukannya membuat kesiapsiagaan dalam menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka sehingga Mac depan.

Menurutnya, tindakan itu juga dilakukan kerana pegawai dan anggota di negeri ini tidak ramai sekali gus membolehkan mereka sentiasa berada dalam situasi bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan yang melanda.

"Jadi, seperti amalan biasa sebelum ini kita sudah mula tidak membenarkan pegawai dan anggota untuk bercuti.

"Bagaimanapun, setakat ini JBPM Melaka tidak menghadapi masalah dari segi cuti pegawai," katanya.

Mohd Pisar (tengah) bergambar bersama sebahagian murid yang menyertai Pasukan Bomba Junior di SK Tun SAS di Ayer Keroh pada Khamis.
Mohd Pisar (tengah) bergambar bersama sebahagian murid yang menyertai Pasukan Bomba Junior di SK Tun SAS di Ayer Keroh pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pasukan Bomba Junior di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin (Tun SAS) di Ayer Keroh pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri, Jamsari Mariman dan yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tun Sas, Datuk Mohd Arif Yusa.

Artikel Berkaitan:

Mohd Pisar berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantau di lokasi berisiko banjir seperti di Lubok China dan Sungai Siput Masjid Tanah, Sungai Putat di daerah Melaka Tengah dan Merlimau di daerah Jasin.

"Pemantauan lebih kerap akan dilakukan terutamanya di kawasan kediaman berhampiran sungai selain lokasi cerun-cerun di negeri ini.

"Terdapat lebih 200 cerun di negeri ini namun setakat ini tiada yang berisiko," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan 11 sekolah akan menubuhkan Pasukan Bomba Junior sepanjang tahun ini membabitkan murid Tahun Tiga hingga Enam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!