Op Naga tahan 598 vesel nelayan asing, rampasan RM209 juta

Op Naga berjaya menahan 598 nelayan asing yang mencuri hasil laut di perairan negara. Gambar kecl: Mohd Rosli
Op Naga berjaya menahan 598 nelayan asing yang mencuri hasil laut di perairan negara. Gambar kecl: Mohd Rosli
A
A
A

PUTRAJAYA - Operasi bersepadu menerusi Op Naga berjaya merekodkan 598 tangkapan vesel nelayan asing dengan nilai rampasan berjumlah RM209 juta dalam tempoh lima tahun sejak Mei 2019.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, jumlah itu direkodkan setakat September lepas.

Maritim Malaysia menahan nelayan asing menerusi Op Naga bagi membanteras kegiatan curi hasil laut negara.
Maritim Malaysia menahan nelayan asing menerusi Op Naga bagi membanteras kegiatan curi hasil laut negara.

Menurutnya, 75 peratus tangkapan yang dilakukan melibatkan 451 nelayan asing warga Vietnam dengan 4,391 kru ditahan membabitkan nilai rampasan melebihi RM190 juta.

"Angka berkenaan merupakan sebahagian daripada jumlah vesel nelayan asing yang memasuki perairan negara.

"Pasukan keselamatan yang terlibat dalam Op Naga sentiasa komited melaksanakan operasi berkenaan dalam usaha membanteras pencerobohan vesel asing yang mengaut hasil laut di perairan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Antara vesel asing yang dirampas pihak berkuasa menerusi Op Naga.
Antara vesel asing yang dirampas pihak berkuasa menerusi Op Naga.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, ancaman aktiviti perikanan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika tidak dibanteras, aktiviti ini akan menjejaskan habitat ekosistem marin selain mengancam pembiakan benih ikan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan.

"Diharap Op Naga dapat diperkasakan lagi demi menjaga kedaulatan serta memastikan sumber ekonomi negara sentiasa terpelihara," katanya.

Op Naga merupakan operasi bersepadu yang dikoordinasikan Maritim Malaysia melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan

Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Turut terlibat ialah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Perikanan Sabah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!