Baitumal Kedah perintis Projek Kabin Guru KAFA

Dr Abd Ghani (kiri) menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kabin Guru Kafa Tahun 2024 Sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena, pada Khamis.
Dr Abd Ghani (kiri) menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kabin Guru Kafa Tahun 2024 Sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena, pada Khamis.
A
A
A

POKOK SENA - [DIKEMAS KINI] Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menjadi perintis kepada Projek Kabin Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Kedah sejak 2022.

Setiausaha MAIK, Dato’ Dr Abd Ghani @Zulkifli Zainuddin berkata, Baitumal Kedah telah menyediakan 11 kabin KAFA dengan peruntukan sebanyak RM244,035.

Beliau menambah, inisiatif menyediakan kabin guru KAFA berkenaan dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan wang tidak patuh syariah ini.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kabin Guru Kafa Tahun 2024 Sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena, di sini, pada Khamis.

Hadir sama,Ketua Unit Tabung Amanah Baitumal MAIK,Syeikh Zamri Bakar.

Dr Abd Ghani (kiri) melihat kitab di Kabin Guru KAFA SK Pokok Sena.
Dr Abd Ghani (kiri) melihat kitab di Kabin Guru KAFA SK Pokok Sena.

Dato’ Dr Abd Ghani berkata, projek ini bermula pada tahun 2022 di SK Belukar di daerah Padang Terap dan diteruskan lagi di SK Sri Gunung, SK Telok Kechai, SK Kurong hitam dan terbaru,iaitu SK Pokok Sena.

"Baitulmal mengucapkan tahniah kepada SK Pokok Sena kerana terpilih untuk projek kabin guru KAFA,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap, projek kabin guru KAFA ini dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada guru-guru KAFA, sekali gus guru dapat memberikan lebih tumpuan dan fokus ke arah peningkatan prestasi pelajar.

Dr Abd Ghani (kanan) melihat fail-fail disusun di Kabin Guru KAFA SK Pokok Sena.
Dr Abd Ghani (kanan) melihat fail-fail disusun di Kabin Guru KAFA SK Pokok Sena.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Dr Abd Ghani memberitahu,projek berkenaan mendapat permintaan yang banyak dari sekolah-sekolah namun ia bergantung kepada kemampuan kewangan Baitumal.

Bagaimanapun, beliau menyatakan, pihaknya sentiasa berharap dapat meneruskan Projek Kabin KAFA pada masa-masa akan datang,sekaligus mengalakkan masyarakat untuk menyumbang untuk pertumbuhan sistem pendidikan KAFA tersebut.

Sementara itu,guru penyelaras KAFA SK Pokok Sena,Siti Aisyah Ahmad berkata, guru KAFA di sekolah berkenaan terpaksa berkongsi dengan kelas pemulihan sebelum ini,sekaligus agak menyukarkan mereka untuk menyimpan fail pelajar dan sebagainya.

Katanya, mereka juga perlu bermesyuarat di kelas-kelas akibat bilik terhad,sekaligus memohon kabin guru KAFA dari Baitumal Kedah.

Dr Abd Ghani (tiga dari kanan) bergambar kenangan selepas Majlis Penyerahan Projek Kabin Guru Kafa Tahun 2024 Sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah di SK Pokok Sena di sini, pada Khamis.
Dr Abd Ghani (tiga dari kanan) bergambar kenangan selepas Majlis Penyerahan Projek Kabin Guru Kafa Tahun 2024 Sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah di SK Pokok Sena di sini, pada Khamis.

Menurut Siti Aisyah, kesemua guru KAFA bersyukur permohonan diluluskan dan menerima kabin guru KAFA berkenaan untuk kegunaan mereka,sekaligus tidak lagi perlu berkongsi dengan guru di sebelah pagi.

"Kami pun boleh mesyuarat apa semua di kabin guru KAFA dan tidak perlu berkongsi dengan sebelah pagi,malah ia lebih tersusun,"katanya.

Seorang lagi guru KAFA, Zulkhairi Abdul Samad berkata, beliau bersyukur dengan pemberian Kabin KAFA yang dilihat mampu memberi keselesaan kepada guru terlibat,sekaligus mengalakkan mereka untuk memberi tumpuan kepada pengajaran kepada murid.

"Apabila guru selesa maka setiap pengajaran yang kita akan berikan kepada pendidikan kepada murid ini.Insya-ALLAH, akan lebih baik,"katanya.

Sebarang bentuk pendapatan ataupun perolehan hasil dari perbuatan mahupun transaksi yang bertentang syarak disumbangkan atas nama MAIK-Wang tidak patuh syariah melalui akaun Bank Rakyat (11-0206962-8).

Orang awam mempunyai persoalan boleh menghubungi talian 04-7026200/04-7026201 ataupun WhatsApp 017-3043755, ataupun melalui email maik@kedah.gov.my,Facebook TabungAmanahBaitumalKedah ataupun www.maik.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!