Pintu gerbang tampil identiti komuniti Felda sambut pelancong

Amizar merasmikan pintu gerbang Felda Bukit Sagu 2 dan 3 yang siap dibina sekitar dua bulan lalu. Gambar kecil: Wan Mohd Khairi
Amizar merasmikan pintu gerbang Felda Bukit Sagu 2 dan 3 yang siap dibina sekitar dua bulan lalu. Gambar kecil: Wan Mohd Khairi
A
A
A

KUANTAN - Pintu gerbang Felda Bukit Sagu 2 dan 3 yang siap dibina sepenuhnya bukan sekadar menjadi mercu tanda, sebaliknya ia menjadi simbol kesediaan komuniti tanah rancangan itu untuk menerima pelancong.

Pengurusnya, Wan Mohd Khairi Wan Abdul Razak berkata, pembinaan pintu gerbang yang melibatkan kos RM66,000 sangat signifikan buat komuniti bagi mempromosikan eko-pelancongan di kedua-dua tanah rancangan tersebut.

"Ini adalah mercu tanda pertama dan kita ke arah (memperkenalkan) produk pelancongan di sini sekali gus menampilkan identiti tanah rancangan ini.

"Jadi, bila orang luar masuk sini mereka sudah tahu dan kenal ini kawasan Felda Bukit Sagu 2 dan 3,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pintu gerbang itu dibina dengan peruntukan daripada Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersempena Hari Peneroka tahun lalu.

Majlis perasmian terbabit disempurnakan Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.

Dalam pada itu, Wan Mohd Khairi berkata, dengan ada pintu gerbang ini ia secara tidak langsung menarik pelbagai pihak untuk datang ke Felda Bukit Sagu 2 dan 3.

"Persepsi orang luar biasanya Felda dikaitkan dengan sawit sahaja, tapi sebenarnya kami ada pelbagai perkara menarik yang ada di sini,” katanya

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga turut membangunkan Tasik Taman Selesa dengan menyediakan aktiviti sukan rekreasi air, selain fasiliti lain.

"Selain itu kita turut memperkenalkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada pelancong yang menggambarkan identiti kulinari negeri Pahang.

"Dua makanan tradisional Melayu Pahang yang diketengahkan iaitu daging opor dan puding diraja yang telah menerima anugerah khas bagi kategori pencuci mulut tradisional," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!