GRASS dakwa penerokaan hutan simpan punca banjir lumpur di Kedah
ALOR SETAR - Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah mendakwa aktiviti pembalakan yang sedang dilakukan di kawasan hutan simpan menjadi antara penyumbang kepada banjir teruk yang melanda Sik dan Baling.
Pengerusi GRASS, Mohd Sobri Ramlee berkata, hutan yang digondolkan seperti di Hutan Simpan Rimba Teloi dan Bukit Enggang yang dijadikan ladang hutan menyebabkan tiada lagi pokok berfungsi sebagai penahan air hujan.
Menurutnya, kawasan hutan berkenaan sebahagiannya dijadikan ladang durian musang king, ladang solar serta aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).
“Berlaku kerosakan di kawasan hulu Kedah, iaitu Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda akibat pembukaan hutan yang drastik, inilah antara punca sebahagian kawasan dilanda banjir lumpur.
“Kesan penerokaan hutan itu turut menjejaskan kualiti air yang disalurkan melalui beberapa empangan di situ,” katanya di sini pada Khamis.
Mohd Sobri berkata, kerja-kerja pembalakan turut dilakukan berhampiran kawasan gigi air yang kemungkinan menjadi laluan lori balak memunggah hasil hutan.
“Banjir adalah fenomena biasa, tetapi jika banjir bersama lumpur itu disebabkan kerosakan yang berlaku di hulu sungai atau punca sungai di kawasan hulu.
“Di Empangan Ahning, melalui pemantauan satelit kita dapat lihat di sebelah Thailand masih banyak kawasan hijau tetapi di sebelah Malaysia dilihat rakusnya pembalakan dilakukan.
“Air dari puncak-puncak bukit ini akan mengalir ke Tasik Ahning, inilah kesan kepada kualiti air yang terjejas kerana berhampiran gigi air pun ada pembalakan, cerun berdekatan tak sepatutnya ditebang balak tetapi turut dibuat teres secara drastik,” katanya.
Menurutnya, ia bukannya pembalakan selektif sebaliknya didakwa dilakukan secara ‘cuci mangkuk’ atau tebang habis kerana tiada lagi pokok-pokok kecil di kawasan diteroka.
“Apabila hutan di hulu sudah ditebang ia tidak mampu lagi menahan larian air apabila hujan lebat,” katanya lagi.
Mohd Sobri turut mendakwa, aliran air dari kawasan hulu itu turut membawa bersama lumpur tebal ke rumah penduduk setiap kali banjir berlaku dalam skala besar.
“Disebabkan itu juga kawasan hilir Kedah sekitar Alor Setar, turut mengalami banjir berulang kali kebelakangan ini.
“Air dari Tasik Ahning akan masuk ke Sungai Padang Terap yang akan bertembung dengan Sungai Pedu dan menjadi sungai besar lalu mengalir turun ke Sungai Kedah. Berdasarkan pemahaman saya, pertembungan ini menyebabkan banjir di hilir semakin teruk termasuk membawa bersama lumpur dari hulu,” jelasnya.
Menurutnya, sesuatu perlu dilakukan untuk mengelak bencana berulang.
“Memang betul banjir berlaku disebabkan hujan lebat berterusan, ia faktor utama kerana tiada hujan tiada lah banjir.
“Namun jika hutan kita dipelihara dan dilestarikan sebaik mungkin, tidak akan berlaku banjir kilat atau banjir lumpur yang begitu dahsyat,” katanya.
Banjir yang melanda Kedah kini memasuki sebulan lamanya dan berlarutan sejak 16 September lalu, yang mana sebahagian kawasan mengalami banjir secara berulang dalam tempoh singkat.
Malah di daerah Baling dan Sik, banjir puing yang membawa bersama kayu-kayu pokok, batu, pasir serta lumpur turut dikesan berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!