[VIDEO] 'Aiman baru sebulan kerja pungut sampah'

A
A
A

BESUT - [DIKEMAS KINI] Pekerja pembersihan yang maut akibat dirempuh sebuah Proton Saga dalam kejadian di Kampung Jabi di sini pada Rabu, baru sebulan bekerja sebagai pemungut sampah.

Ibunya, Rosnani Md Yusof, 48, berkata, anaknya, Muhammad Sahrul Aiman Anuar, 20, memutuskan untuk tidak meneruskan pengajian di sebuah pusat tahfiz selepas bapanya mengalami masalah kesihatan.

Jelas Rosnani, suaminya, Anuar Mohamed, 49, tidak dapat bekerja selepas penglihatan kabur sejak empat tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dialami.

Rosnani dan Anuar menunjukkan gambar Aiman ketika ditemui dikediamannya di Kampung Pasir Tawar, Jabi di Besut. Gambar kecil: Muhammad Sahrul Aiman
Rosnani dan Anuar menunjukkan gambar Aiman ketika ditemui dikediamannya di Kampung Pasir Tawar, Jabi di Besut. Gambar kecil: Muhammad Sahrul Aiman

"Selepas ayah dia alami masalah penglihatan dan tidak boleh memandu kereta, Aiman pilih untuk bekerja bagi membantu meringankan bebanan keluarga.

"Aiman seorang anak yang baik, dia tidak memilih kerja. Dia pernah kerja di sebuah gerai keropok, dia ada juga mohon bekerja di sebuah ladang lada hitam, namun memutuskan untuk kerja pungut sampah sementara menunggu panggilan temu duga," ujarnya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Pasir Tawar, Jabi di sini pada Khamis.

Anuar sebak ketika menceritakan saat terakhir dia bertemu anaknya pada petang Selasa lalu.
Anuar sebak ketika menceritakan saat terakhir dia bertemu anaknya pada petang Selasa lalu.

Menurut Rosnani, kebiasaannya, anaknya itu akan keluar bekerja seawal jam 4 pagi dan pulang ke rumah mengikut jadual kerja ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kali terakhir mereka bertemu ketika minum petang pada Selasa lalu dan ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

"Awal pagi hari dia meninggal dunia, saya hanya dengar bunyi dia hidupkan motosikal menandakan mahu keluar bekerja.

"Pagi itu, dalam jam 7.30 pagi ketika hantar dua anak ke sekolah, saya berasa tidak sedap hati sebab nampak orang ramai mengerumuni lori sampah yang dia biasa naik.

"Hati saya luluh kerana setibanya di lokasi itu, rakan dia beritahu saya, Aiman telah meninggal dunia kerana dirempuh sebuah kereta," ujarnya sayu.

Jelas Rohani, jenazah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jabi, di sini pada malam Rabu.

Azman (kanan) menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Sahrul Aiman di kediamannya di Kampung Pasir Tawar, Jabi di Besut pada Khamis.
Azman (kanan) menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Sahrul Aiman di kediamannya di Kampung Pasir Tawar, Jabi di Besut pada Khamis.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim turut meluangkan masa menziarahi keluarga berkenaan.

Menurutnya, Aiman merupakan seorang pemuda yang memiliki wawasan tinggi serta melakukan pekerjaan mulia untuk menyara diri dan keluarga termasuk dua adik yang masih bersekolah.

"Aiman seorang bekas pelajar tahfiz, arwah terkorban ketika sedang bekerja dan berbakti kepada negeri kita dalam menjaga kebersihan dan keharmonian kita semua.

"Kita merakam takziah atas kehilangan ahli keluarga ini. Mudah-mudahan ibu dan ayahnya tabah dengan ujian ini. Kita sayang padanya namun ALLAH SWT lebih menyayanginya.

"Semoga ALLAH SWT menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang baik dan dimasukkan ke dalam syurga," ujarnya.

Rabu lalu, seorang pekerja pembersihan maut akibat dirempuh sebuah Proton Saga dalam kejadian di Kampung Jabi di sini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung nahas itu sekitar jam 8.05 pagi dan menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!