Warga Pakistan antara 5 diberkas jual data peribadi kepada along

Ramli menunjukkan individu yang ditahan dalam Ops Kapas, pada 5 September lalu.
Ramli menunjukkan individu yang ditahan dalam Ops Kapas, pada 5 September lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lima individu termasuk seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki terlibat dengan sindiket penjualan data peribadi kepada along diberkas dalam Ops Kapas di ibu kota, pada 5 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 34 hingga 52 tahun.

"Dua daripada mereka termasuk lelaki warga Pakistan berperanan sebagai pembangun portal serta penggodam.

"Manakala tiga individu lain merupakan ejen dan pengutip hutang yang telah membeli data-data tersebut," katanya dalam sidang media di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, pada Khamis.

Ramli berkata, lelaki warga Pakistan itu dipercayai memasuki Malaysia sebagai pekerja am sejak 10 tahun lalu.

"Kita percaya individu tersebut mempunyai kepakaran siber," katanya.

Ramli berkata, kegiatan sindiket itu mula dikesan oleh CyberSecurity Malaysia setelah melaksanakan pemantauan terhadap satu laman web didapati memiliki maklumat-maklumat pengguna yang dipercayai berdaftar dengan pelbagai syarikat dan agensi.

"Maklumat pengguna tersebut disyaki telah diperoleh hasil pencerobohan terhadap sistem yang digunakan oleh syarikat-syarikat dan agensi-agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Melalui laporan polis yang dibuat oleh pihak CyberSecurity Malaysia, satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 telah dibuka," katanya.

Ramli berkata, siasatan seterusnya telah mengenal pasti kewujudan satu portal dikenali sebagai Query Smart Search yang menyimpan pelbagai data milik rakyat Malaysia meliputi nama, nombor kad pengenalan, alamat, nombor akaun bank dan nombor telefon.

"Akses kepada portal itu diberikan secara sewaan kepada individu yang berminat dengan kadar RM200 hingga RM800 sebulan.

"Terdapat juga sebahagian data yang dijual secara terus kepada pembeli dengan nilai antara RM1.50 hingga RM2 bagi setiap data," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan penyewa dan pembeli yang telah dikenal pasti adalah dalam kalangan syarikat pengutip hutang.

"Berdasarkan analisis yang dilakukan oleh CyberSecurity Malaysia, portal ini telah menyenaraikan lebih 400 juta data.

"Hasil siasatan turut mendapati, data-data ini diperoleh melalui penggodaman," katanya.

Ramli berkata, pihaknya percaya terdapat beberapa sindiket berlainan yang masih menjalankan kegiatan sebegini dan usaha sedang digiatkan untuk mengesan dan menangkap individu-individu yang terlibat.

"Saya mengucapkan jutaan penghargaan kepada pihak CyberSecurity Malaysia dan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi di atas segala kerjasama dan perkongsian kepakaran yang diberikan sepanjang Op Kapas dilaksanakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!