Suspek kes MBI: Dia boleh jadi sesiapa sahaja - Azam

Azam menyampaikan ucapan perasmian pada majlis Persidangan Meja Bulat Memperkasa Integriti dan Mitigasi Aktiviti Pengubahan Wang Haram melalui kolaborasi SPRM dan Institusi Kewangan Tahun 2024 di sebuah hotel di ibu negara, hari ini. - Bernama
Azam menyampaikan ucapan perasmian pada majlis Persidangan Meja Bulat Memperkasa Integriti dan Mitigasi Aktiviti Pengubahan Wang Haram melalui kolaborasi SPRM dan Institusi Kewangan Tahun 2024 di sebuah hotel di ibu negara, hari ini. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan mendedahkan identiti ahli politik yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

Sebaliknya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hanya mengesahkan siasatan ketika ini melibatkan seorang ahli politik sahaja dan nama ahli politik itu masih dirahsiakan.

"Ia boleh jadi sesiapa sahaja. Jadi kita tunggu sajalah," katanya.

Beliau berkata, tiada ahli politik lain di Selangor berada dalam radar siasatan yang giat dilakukan pada masa ini.

"Saya tidak tahu dan buat masa ini mungkin hanya melibatkan seorang sahaja.

"Masih belum lagi timbul nama-nama ahli politik lain yang terlibat," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Bank-bank Komersial.

Mengulas lanjut mengenai kes MBI, Azam berkata, SPRM menjalankan siasatan berdasarkan kepada maklumat dan aduan daripada pelbagai pihak.

Jelas beliau, sekiranya kes itu melibatkan kepentingan awam pihaknya akan terus menjalankan siasatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekiranya kes melibatkan sektor swasta, polisi SPRM mesti ada pengadu yang sahih datang membuat laporan kepada suruhanjaya itu.

"Seperti saya katakan semasa ucapan tadi, fokus SPRM masih lagi melibatkan sektor perkhidmatan awam yang menjaga duit rakyat atau menguruskan dana rakyat.

"Kita tidak perlu menunggu pengadu sebenar hendak datang sekiranya pegawai-pegawai saya telah membuat pengesahan berhubung kes berkepentingan awam.

"Maka ada sebab yang munasabah untuk dijalankan siasatan," ujarnya.

Tegas beliau, sekiranya ada dakwaan bahawa siasatan kes MBI dibuat kerana ada unsur politik, ia adalah tidak benar.

Jelas beliau, SPRM hanya melaksanakan tugas diamanahkan dan tidak bermotifkan politik.

Sebaliknya kata beliau, semua siasatan dijalankan berdasarkan maklumat atau aduan yang diberikan oleh orang ramai.

"Timbul perkara yang mengatakan ini isu politik dan sebagainya, terserahlah kepada mana-mana mereka hendak sebut tentang hal berkenaan.

"Saya tidak ada komen tentang perkara itu,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!