Mentega Terbang: 6 Januari untuk keputusan mengenai merit semakan kehakiman

Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Jumaat, menetapkan keputusan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, berhubung tuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada 14 Jun depan. Gambar hiasan
Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Jumaat, menetapkan keputusan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, berhubung tuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada 14 Jun depan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Januari depan bagi memutuskan merit semakan kehakiman oleh pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang terhadap larangan tayangan dan publisiti filem itu.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak-pihak terbabit.

Peguam N Surendran yang mewakili pengarah filem itu Mohd Khairianwar Jailani dan penerbitnya Tan Meng Kheng, berhujah bahawa tindakan melarang tayangan filem itu adalah tidak rasional dan menyalahi undang-undang kerana ia melanggar hak anak guamnya untuk kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 daripada Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, kami memohon mahkamah ini membatalkan larangan itu dan mengisytiharkan Akta Penapisan Filem sebagai tidak berperlembagaan,” katanya dan menambah bahawa filem itu mengisahkan seorang pelajar sekolah, yang mempunyai keraguan mengenai kehidupan.

Sementara itu, peguam kanan persekutuan, Nur Hafizza Azizan yang mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden berhujah bahawa terdapat beberapa adegan filem itu bercanggah dengan akidah dan ajaran Islam.

"Yang Arif, filem ini mungkin mengajar sesuatu yang bertentangan dengan amalan Islam. Selain itu 30 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung filem itu,” katanya.

Pada 31 Januari lepas hakim yang sama memberikan kebenaran kepada pengarah dan penerbit untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar larangan kerajaan.

Dalam permohonan yang difailkan pada Disember tahun lepas Mohd Khairianwar, 32, dan Tan, 37, mendakwa keputusan kerajaan mengharamkan filem itu adalah tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Mereka mendakwa keputusan itu turut menjejaskan pendapatan mereka kerana filem itu tidak dapat ditayangkan atau diedarkan ke mana-mana dalam negara.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem yang ditayang menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Januari lepas Mohd Khairianwar dan Tan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain menerusi filem itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!