Premis makanan jual telur masin ada ulat diarah tutup

Sepasukan pegawai dari PKD Kuala Muda melakukan pemeriksaan di premis makanan di daerah ini yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat.
Sepasukan pegawai dari PKD Kuala Muda melakukan pemeriksaan di premis makanan di daerah ini yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebuah premis makanan di daerah ini yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat pada Selasa telah diarahkan ditutup serta merta.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Ismuni Bohari berkata, perintah penutupan premis itu dilaksanakan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"JKN Kedah mengesahkan aduan diterima melalui Facebook Penduduk Sungai Petani pada Selasa berkaitan isu kebersihan premis makanan dan penemuan ulat dalam telur masin di sebuah premis makanan di daerah itu.

"Verifikasi aduan juga telah dilakukan dengan pengadu untuk mengesahkan kejadian itu yang ditularkan di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda telah menjalankan siasatan lanjut pada Rabu.

"Hasil siasatan mendapati premis itu gagal mematuhi keperluan kebersihan premis di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983," katanya.

Dr Ismuni menambah, JKN Kedah turut mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 terhadap premis terbabit selain perintah penutupan.

Tambahnya, pemeriksaan semula premis itu akan dijalankan selepas pemiliknya dapat mematuhi semua arahan pembersihan dan mengambil tindakan pembetulan sepertimana yang diarahkan oleh PKD Kuala Muda.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau bagi memastikan premis makanan yang beroperasi mematuhi Peraturan-peraturan Makanan di bawah Akta Makanan 1983 bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan sebuah premis nasi kandar di Sungai Petani menjadi tular susulan sebuah video dimuat naik pelanggan yang mendakwa terdapat ulat dalam makanan yang diambil.

Video yang dimuat naik ke Facebook Penduduk Sungai Petani berdurasi 12 saat dan menjadi tontonan lebih 10,000 pengguna, turut tersebar ke beberapa platform media sosial lain.

Ia memaparkan situasi di mana nasi kandar yang dimakan bersama lauk didakwa mempunyai ulat.

Antara hidangan yang diambil dalam satu pinggan termasuklah nasi, ayam dan telur masin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!