Tiada perbincangan kerjasama dengan Bersatu

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tiada perbincangan mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan cadangan pembentukan kerajaan campuran pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, sebentar tadi.

Sebaliknya, mesyuarat MKT tertumpu kepada beberapa perkara seperti menetapkan tarikh Persidangan UMNO Cawangan, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Konvensyen UMNO Negeri-negeri dan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu kenyataan yang diedarkan berakhir Mesyuarat MKT dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada mesyuarat itu juga, MKT UMNO Malaysia telah diberikan penjelasan terkini oleh presiden UMNO itu berhubung situasi politik semasa dengan memberikan pelbagai senario yang berkemungkinan berlaku.

"Senario-senorio tersebut telah dinilai secara bersama dengan Pas dalam semangat Muafakat Nasional. MKT berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan MKT telah memberikan pandangan secara terbuka untuk perhatian dan tindakan presiden UMNO," kata Annuar dalam kenyataan itu.

Annuar berkata, MKT juga merasa amat bimbang dengan kedudukan orang Melayu, umat Islam dan rakyat keseluruhannya yang semakin terhimpit berpunca dari kegagalan Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, MKT telah berbincang panjang berkenaan hala tuju dan pendekatan Muafakat Nasional dalam senario poliik yang tidak menentu ini demi memelihara kepentingan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid perlu letak jawatan, kata Lokman Adam

Artikel Berkaitan:

Annuar berkata, MKT bersetuju untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional dengan mempertingkatkan gerak kerjanya bersama Pas terutamanya dalam berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Menurut kenyataan Annuar itu lagi, MKT UMNO pada mesyuarat tersebut turut memutuskan untuk melantik Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baharu.

Sebahagian wartawan yang menunggu pimpinan UMNO keluar dari Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, hari ini. -Foto Sinar Harian
Sebahagian wartawan yang menunggu pimpinan UMNO keluar dari Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, hari ini. -Foto Sinar Harian

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Mesyuarat MKT UMNO hanya membincangkan langkah memperkukuhkan Muafakat Nasional antara Barisan Nasional dan Pas untuk menghadapi PRU15.

“Mesyuarat biasa sebagai Muafakat Nasional, tidak ada Pakatan Nasional. Kita mahu memperkukuhkan Muafakat Nasional untuk berhadapan dalam PRU15,” kata Bung Moktar kepada media hari ini.

Ketika ditanya sama ada terdapat persetujuan dalam kalangan MT UMNO terhadap cadangan Pakatan Nasional itu, Bung Moktar menegaskan, perkara itu tidak boleh berlaku dalam UMNO.

"Mana boleh join. Kita ada parti sendiri. Tidak akan ada kerjasama, tidak akan timbul," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada mesyuarat itu turut membincangkan mengenai Datuk Lokman Noor Adam, Bung Moktar berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak Lembaga Disiplin untuk diputuskan.

Bung Moktar ketika ditemui media. -Foto Sinar Harian
Bung Moktar ketika ditemui media. -Foto Sinar Harian

Hari ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan parti itu pada dasarnya menyokong pembentukan Pakatan Nasional bagi mengembalikan tampuk pemerintahan negara kepada Melayu Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang perubahan yang bakal berlaku perlu mengikut saluran yang betul.

"Secara dasarnya begitu, dalam keadaan negara terumbang-ambing, sekarang tampuk pemerintahan negara perlu diambil alih oleh orang Melayu Islam.

"Apa yang penting ialah perubahan ke arah positif yang perlu dilakukan. Kita mesti menyelesaikan kelemahan yang berlaku bukan mengulangi kembali," katanya ketika ditemui pemberita di Rusila di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kita tetap masuk pintu depan: Abdul Hadi

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan sebarang keputusan mengenai pembentukan gagasan Pakatan Nasional.

Katanya, Pas masih mengutamakan langkah awal mereka bersama UMNO dengan memeterai Muafakat Nasional bagi menyatukan kuasa politik Melayu Islam.

"Kita tidak perlu gopoh dalam perkara ini kerana ia perlu dinilai dari semasa ke semasa.

"Apa yang penting ialah persamaan konsep yang dibawa seperti yang telah berlaku dalam Muafakat Nasional di mana UMNO sedia mengubah dasar dengan meletakkan Islam di hadapan.

"Ini adalah satu perubahan yang besar. Dalam masa yang sama, kita lihat dalam kerajaan pula ada yang bersikap fleksibel (tidak jumud)," katanya.

Spekulasi mengenai pembentukan Pakatan Nasional tercetus selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membuat pendedahan mengenai perkara itu menerusi laman sosial Facebooknya pada 3 Februari lalu.

Menerusi video dimuat naik itu, Lokman mendakwa terdapat perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk satu pakatan baharu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO yang berlangsung Isnin lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!