Bapa ditahan buat laporan palsu 4 anak hilang gara-gara hutang

Seorang lelaki diberkas polis kerana membuat laporan palsu mengenai kehilangan empat orang anaknya - Gambar hiasan, gambar kecil: M Kumarasan
Seorang lelaki diberkas polis kerana membuat laporan palsu mengenai kehilangan empat orang anaknya - Gambar hiasan, gambar kecil: M Kumarasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang bapa sanggup membuat laporan palsu mengenai kehilangan empat orang anaknya kerana mempunyai hutang keliling pinggang.

Bagaimanapun, perbuatan suspek warga tempatan berusia 41 tahun itu memakan diri apabila dia diberkas pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek membuat laporan polis pada jam 2.40 pagi Khamis, mengenai kehilangan empat anaknya berusia dua hingga lapan tahun di kawasan Mutiara Rini, di sini.

"Bertindak atas maklumat sepasukan polis telah menjalankan tindakan mengesan kanak-kanak tersebut tetapi suspek gagal menunjukkan lokasi sebenar dan keterangan suspek juga mencurigakan.

"Hasil siasatan mendapati keempat kanak-kanak tersebut berada di rumah isteri suspek dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kumarasan memberitahu, siasatan lanjut mendapati suspek dikatakan sering mengabaikan anak-anaknya yang masih kecil itu.

"Selain itu, suspek juga mempunyai hutang dengan pihak lain yang menyebabkan suspek membuat laporan palsu, kerana khuatir anak-anaknya diganggu akibat gagal melunaskan hutang tersebut," katanya.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru bagi mendapatkan permohonan reman bagi membantu siasatan, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak, serta Seksyen 182 Kanan Keseksaan.

"Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan palsu, kerana menyalahi undang-undang dan boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!