Empat sekeluarga nyaris maut premis perniagaan terbakar
KUALA TERENGGANU - Empat sekeluarga termasuk pasangan warga emas yang juga pengusaha kedai pemborong makanan ringan nyaris maut apabila premis perniagaan mereka terbakar.
Kejadian membabitkan bangunan empat tingkat itu berlaku sekitar jam 7 pagi di Jalan Hiliran di sini, pada Khamis.
Mangsa, Khoo Yok Min, 80, dan isterinya Cho Yu Liang, 80, yang tinggal di tingkat tiga premis tersebut terselamat apabila sempat keluar selepas melihat asap di dalam kedai.
Anak mangsa, Koh Peng Swee berkata, dia terdengar ketukan pintu bilik oleh ibunya yang memintanya segera keluar untuk menyelamatkan diri.
"Waktu kejadian saya dan isteri sedang tidur sebelum terdengar bunyi pintu bilik diketuk dari luar beritahu ada api terbakar.
"Tanpa berlengah saya segera bangun, capai apa yang patut dan turun untuk menyelamatkan diri," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.06 pagi dan mengerahkan anggota ke lokasi kejadian jam 7.07 pagi
Katanya, operasi padam kebakaran itu melibatkan seramai 50 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Jalan Kota dan Marang dengan bantuan enam jentera.
“Pihak bomba dapat mengawal sepenuhnya api dalam tempoh satu jam setengah.
"Sepanjang usaha memadam kebakaran, kita menghadapi kesukaran kerana terlalu banyak stok makanan ringan dan barangan keperluan mudah terbakar di dalam premis tersebut,” katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!