Tanah runtuh Taman Melawati: Penduduk dibenarkan pulang bermula 6 petang ini
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kesemua mangsa tanah runtuh di Taman Melawati dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bermula jam 6 petang ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ia diputuskan selepas mendapat persetujuan semua agensi terlibat dalam kerja pembaikan tanah runtuh berkenaan yang masuk hari ketiga hari ini.
"... ketika ini tidak mengesan sebarang pergerakan tanah yang baharu berdasarkan kajian pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
"Berdasarkan keseluruhan dapatan kita pada hari ini dan persetujuan semua agensi terlibat, kita membenarkan penduduk di Jalan E6 yang membabitkan 20 rumah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu untuk kembali ke rumah masing-masing mulai 6 petang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Jalan E5 di sini hari ini.
Pada Selasa lepas, tanah runtuh yang berlaku kira-kira 10.15 pagi akibat hujan lebat memaksa penghuni 20 rumah di Taman Melawati untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Ketika ini seramai 23 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS manakala kira-kira 10 lagi memilih tinggal di hotel atau menumpang rumah saudara.
Mohd Azam bagaimanapun menyeru penduduk yang pulang ke kediaman masing-masing sentiasa berwaspada manakala kerja-kerja laluan mitigasi dan penyelenggaraan cerun masih giat dijalankan untuk mengelak hakisan tanah daripada terus berlaku.
"Kita jangka penyelenggaraan cerun yang terkesan ini hingga esok namun jika perlu lebih masa maka kita akan teruskan. Pos pengawal pihak polis dan bomba juga akan ditempatkan hingga esok bagi memantau keadaan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Ahmad Fitri Ahmad berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan itu akan diuruskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) manakala kerja-kerja baik pulih dan pembaikan jangka panjang diserahkan kepada pemilik tanah.
"Bagi menambah keyakinan penduduk mengenai keselamatan kawasan sekitar, MPAJ akan memasang penghadang tanah sementara untuk mengurangkan impak jika ada apa-apa berlaku," katanya.
Mengenai Tabung Amanah Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fitri berkata, kesemua ketua isi rumah yang terjejas layak memohon bantuan RM500 setiap isi rumah dan permohonan boleh dibuat di Pejabat Penghulu Mukim berdekatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!