Dua diburu kes samun jongkong emas bernilai RM5.9 juta

Hussein menunjukkan paparan gambar melibat kumpulan kes samun jongkong emas di Puchong, bulan lalu.
Hussein menunjukkan paparan gambar melibat kumpulan kes samun jongkong emas di Puchong, bulan lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua lelaki tempatan diburu untuk siasatan kumpulan samun jongkong emas milik syarikat pedagang di Kompleks Industri Puchong di Selangor, 13 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mereka merupakan warga tempatan berusia 28 dan 35 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki empat suspek lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang telah menyamun jongkong emas seberat kira-kira 16.9 kilogram (kg) bernilai RM5.9 juta.

"Mangsa telah dipukul selain diacu parang sebelum suspek lain mengambil beg berisi jongkong emas seberat kira-kira 16.9kg bernilai RM5.9 juta yang diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan syarikat.

"Bertindak atas maklumat, pada 8 hingga 14 Oktober, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya memberkas lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Beliau berkata, polis telah merampas dua kereta jenis Volkswagen Passat dan Perodua Axia, peralatan samun serta barang kemas iaitu empat kepingan emas serta wang tunai disyaki hasil samun.

Katanya, suspek ini dipercayai menggunakan hasil jual beli jongkong itu untuk membeli kenderaan mewah.

"Dua suspek telah dituduh pada 17 Oktober, empat suspek akan dituduh pada esok (Jumaat), manakala seorang lagi akan diikat bon mahkamah sebagai saksi pendakwaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hussein, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti dua lelaki dan polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil atau salurkan kepada IPD Serdang di talian 03-80742222 bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 33 tahun telah dituduh di Mahkamah Shah Alam pada 16 Oktober selepas diberkas polis di Kota Tinggi, Johor, dipercayai terlibat kes pecah rumah di Seksyen U13 Shah Alam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!