Suspek bunuh jiran kelaparan, ditangkap ketika keluar cari makanan

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Yampil)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Yampil)
A
A
A

KENINGAU - Selepas hampir sebulan menyembunyikan diri daripada polis, seorang lelaki yang menetak jirannya sehingga maut berjaya ditangkap di kawasan semak di Kampung Kauran, di sini, pada malam Rabu.

Suspek berusia 43 tahun itu keluar dari tempat persembunyiannya kerana kelaparan berjaya dikesan sebelum ditahan polis kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, lelaki yang merupakan suspek utama kes bunuh melibatkan seorang lelaki yang juga pemandu teksi berusia 58 tahun di Kampung Lingkudau berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

"Tangkapan berjaya dibuat hasil daripada maklumat orang ramai dan risikan serta intipan yang dibuat terhadap suspek yang dipercayai berada di kawasan perumahan Kampung Kauran.

"Suspek dipercayai baru saja keluar dari tempat persembunyiannya pada Selasa lalu kerana kelaparan dan mahu mencari makanan.

"Bagaimanapun, dalam kejadian itu suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak cuba melarikan diri ke kawasan kilang terbiar namun akhirnya berjaya ditahan oleh pasukan serbuan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya lagi, tiada sebarang pergelutan dan kecederaan berlaku terhadap pasukan serbuan serta suspek dalam kejadian tersebut.

"Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau dan kini telah direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Yampil dalam pada itu berkata, susulan kejayaan tangkapan suspek tersebut, pihaknya berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat mengenai suspek.

"Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini di media sosial kerana dibimbangi akan menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada 20 September lalu melaporkan suspek bertindak menetak tangan jirannya sehingga maut kerana berang mangsa membantu isterinya berkaitan masalah rumah tangga mereka.

Ketika kejadian, anak mangsa berusia tujuh tahun yang turut berada di lokasi menyaksikan sendiri bapanya ditetak dan akibat kejadian itu mangsa mengalami pendarahan teruk sebelum disahkan meninggal dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!