Pembiayaan tambahan RM2 bilion: Najib percaya BOD buat keputusan demi SRC

Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak mempertikai permohonan pinjaman tambahan RM2 bilion daripada SRC International Sdn Bhd kerana percaya bahawa Lembaga Pengarah (BOD) SRC akan membuat keputusan yang bertanggungjawab demi kepentingan syarikat.

Najib, 71, berkata, meskipun beliau membincangkan pelaburan yang bakal dilakukan dalam sektor tenaga oleh SRC dengan pihak pengurusan, adalah menjadi tanggungjawab bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil untuk mengendalikan semua perkara berkaitan dengan BOD.

Untuk rekod, SRC telah memohon pembiayaan tambahan meskipun tidak kemas kini mengenai pinjaman awalnya sebanyak RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang disokong oleh jaminan kerajaan.

Ketika disoal oleh peguam P.Gananathan, yang mewakili SRC, Najib berkata, beliau sedar akan ada proses formal sebelum permohonan pinjaman kedua boleh diluluskan oleh KWAP dan adalah menjadi tanggungjawab Nik Faisal untuk berhubung dengan BOD mengenai isu itu.

Gananathan: Apa yang anda lakukan adalah bersetuju dengan cadangan Nik Faisal untuk mendapatkan pembiayaan tambahan dan memanjangkannya kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU). Anda langsung tidak bertanyakan sebarang soalan sebagai Menteri Kewangan, tiada soalan tambahan.

Najib: Ia terpulang kepada Nik Faisal untuk berurusan dengan BOD. Saya memang percayakan BOD selama ini.

Gananathan: BOD yang tidak pernah anda rujuk.

Najib: Bukan saya yang perlu berurusan dengan BOD, itu adalah tugas pihak pengurusan.

Artikel Berkaitan:

Najib berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini selaku saksi defendan pertama dalam kes saman AS$1.18 bilion SRC International terhadap beliau dan Nik Faisal, yang masih bebas.

Gananathan turut mempersoal keterangan Najib sekali gus membayangkan bahawa BOD SRC International masih memerlukan kelulusan beliau dalam bentuk tandatangan untuk meneruskan rancangan pelaburan mereka.

Gananathan: Tidak kiralah apa yang dinyatakan oleh BOD atau pihak pengurusan kepada anda, penggunaan kesemua dana ini tidak dapat dilakukan tanpa tandatangan dan kelulusan daripada anda.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain menyeleweng dana tersebut.

Sebelum ini, SRC menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialaminya akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!