75 kes 'phone scam' babit guru, kerugian cecah RM5.7 juta
KUALA LUMPUR - Sebanyak 75 kes 'phone scam' melibatkan mangsa dalam kalangan guru dengan anggaran kerugian RM5.7 juta dilaporkan sejak Januari hingga 13 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, walaupun statistik itu hanya mewakili 3.6 peratus daripada keseluruhan kes, namun ia semakin menunjukkan trend membimbangkan.
"Bilangan guru yang menjadi mangsa penipuan sedemikian agak kecil, namun jumlah kerugian yang dicatatkan agak membimbangkan iaitu RM5,703,449 juta atau purata RM76,046 bagi setiap mangsa," katanya dalam sidang media di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, pada Khamis.
Ramli berkata, pembabitan guru sebagai mangsa penipuan 'phone scam' amat menyedihkan kerana beliau melihat pendidik sebagai golongan yang terpelajar dan sewajarnya memiliki tahap waspada yang tinggi terhadap ancaman jenayah.
"Tidak dapat dinafikan, guru juga manusia dan mereka juga terdedah kepada kesilapan.
"Bagaimanapun, selaku penyampai dan pengajar ilmu pengetahuan, saya menyeru kepada semua guru di luar sana untuk turut sama cakna dengan perkembangan jenayah komersial dan modus operandi terkini yang digunakan," katanya.
Menurutnya, kes terbaharu membabitkan guru menjadi mangsa penipuan 'phone scam' dilaporkan pada 7 Oktober lalu di Pahang membabitkan kerugian RM160,000.
"PDRM bersedia memberikan apa sahaja jenis bantuan dan kerjasama bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan jenayah komersial," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!